Empat rakyat Malaysia masih di Ukraine


  • Primer
  • Selasa, 08 Mac 2022

SAIFUDDIN menggesa warganegara Malaysia yang masih di Ukraine untuk segera mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan.

EMPAT warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv masih berada di Ukraine, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihak kedutaan melalui perwakilan Malaysia di negara-negara berdekatan Ukraine terutamanya di Warsaw, Poland sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine.

"Pihak kedutaan sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari Ukraine. Bantuan yang diberikan termasuk memudah cara urusan kemasukan di sempadan-sempadan negara berkaitan.

"(Ini termasuk) urusan dokumentasi, contohnya pengeluaran sijil perakuan cemas bagi mereka yang memerlukan, menjaga dan memastikan keadaan kebajikan mereka sentiasa terpelihara dan urusan lain yang berkenaan," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang bertanyakan sama ada kerajaan menyedari jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine serta jenis bantuan yang telah dan akan disalurkan kepada mereka.

Merujuk video berdurasi 45 saat yang mendakwa sekumpulan penuntut Malaysia masih terkandas di Ukraine, Saifuddin berkata, sehingga kini tiada pengesahan dapat dibuat terhadap dakwaan itu serta identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menggesa mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang belum mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan dan masih berada di negara itu untuk segera berbuat demikian.

Selain itu, beliau berkata Malaysia tidak berhasrat melaksanakan sekatan terhadap Rusia buat masa ini kerana sekatan unilateral adalah bertentangan dengan prinsip Malaysia dan sebarang sekatan perlu dibuat melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB kita mencadangkan pertama, gencatan senjata dan kedua rundingan itu diteruskan, sekiranya perlu, sekatan boleh dilaksanakan tetapi kita belum sampai ke tahap itu tapi hakikatnya sekiranya perlu, (ia) perlu dibuat melalui PBB, namun kita perlu berhati-hati dalam soal sekatan ini.

"Adakalanya sekatan dikenakan tapi kalau tak bersasar, yang kena nanti rakyat tidak berdosa jadi kita harus hati-hati dalam soal sekatan ini walaupun ia antara senjata ampuh yang boleh digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH-Subang) sama ada Malaysia akan melaksanakan sekatan sekiranya orang awam di Ukraine terus menjadi sasaran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram