THAILAND menyertai 140 negara lain mengundi memihak kepada Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menerima pakai resolusi mengenai 'Keganasan Terhadap Ukraine'.
Dalam Penjelasan Undi, wakil tetap Thailand ke PBB, Suriya Chindawongse berkata, Thailand telah mempertimbangkan dengan teliti draf itu dan mengundi menyokong resolusi itu kerana ianya amat penting.
Beliau berkata, Thailand berpegang kepada prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, khususnya menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan tidak menggunakan kekerasan terhadap negara lain.
"Kami juga menekankan kebimbangan mendalam terhadap nasib orang awam yang terjejas dan akibat kemanusiaan daripada permusuhan dan keganasan di kawasan itu.
"Oleh itu, kami menyeru semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Kami juga bimbang dengan kemungkinan kesan jangka panjang ke atas orde antarabangsa berasaskan peraturan, dan memperbaharui komitmen kami ke arah keamanan dan agar semua pihak meningkatkan dialog melalui pelbagai cara bagi merealisasikan penyelesaian secara aman,” katanya.
Resolusi yang disebut 'Tindakan Keganasan Terhadap Ukraine' menuntut Persekutuan Rusia segera menghentikan kekerasan terhadap Ukraine dan menghindari daripada sebarang ancaman yang menyalahi undang-undang penggunaan kekerasan terhadap mana-mana negara anggota PBB.
Resolusi itu, yang diterima pakai oleh majoriti 193 anggota Perhimpunan Agung PBB, menerima 141 undian berpihak, 5 membantah dan 35 berkecuali.
Penerimaan itu dibuat selepas Perhimpunan Agung mengadakan Sidang Khas Kecemasan mengenai situasi di Ukraine pada Isnin dan Selasa.
Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Khamis lalu mengumumkan 'operasi ketenteraan khas' di Ukraine dengan tentera Rusia menawan banyak pekan dan bandar Ukraine.
Rundingan antara pegawai Ukraine dan Rusia pada Isnin di sempadan Ukraine-Belarus tidak menemui titik persetujuan dalam menghentikan konflik itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
