Tiada pembalakan, MB Terengganu perjelas punca sebenar banjir puing


  • Primer
  • Khamis, 03 Mac 2022

KEADAAN air banjir yang telah surut di Kuala Terengganu. — KASA

KESAN kemusnahan besar akibat banjir di Hulu Terengganu, Terengganu pada Ahad lepas adalah disebabkan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana di kawasan cerun Sungai Terengganu, berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud (SJHSM) di Kenyir.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan SJHSM itu pada Selasa lepas (1 Mac), mendapati tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian.

"Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing.

"Ini disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut mulai 23 sehingga 27 Februari 2022 yang mencecah 1,000 mm (milimeter).

"Gelinciran tanah runtuh dianggarkan bersaiz panjang 100 meter, lebar 50 meter dan tebal lima hingga 10 meter.

"Sementara aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook pada Khamis.

Sehubungan itu katanya. mesyuarat penyelarasan pascabencana telah dijalankan dan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kayu sedang giat dilakukan oleh pelbagai agensi berkaitan.

"Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa dijalankan bagi mengawasi keadaan. Semoga kenyataan ini dapat menjelaskan dan menjernihkan isu yang berlegar sehari dua ini dalam media sosial,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram