MEDIA arus perdana Barat hampir semuanya sebulat suara menuntut Rusia dan Vladimir Putin menghentikan operasi ketenteraan mereka di Ukraine dengan segera. Ini, pada pendapat mereka, adalah satu-satunya jalan penyelesaian kepada konflik kedua-dua negara itu.
Bagaimanapun, jika seseorang cuba untuk memahami bagaimana konflik tersebut berkembang, dia akan meminta pakatan Barat yang diketuai AS, dan bukannya Rusia untuk meredakan suhu politik sebagai langkah pertama.
Punca konflik masa kini perlu dilihat kembali semasa penghujung Perang Dingin pada tahun 1991. Pemimpin Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR), sebelum dikenali sebagai Rusia, Mikhail Gorbachev merasakan bahawa jika keamanan adalah untuk menyambut tamatnya Perang Dingin, justeru pendudukan tentera yang menandakan era tersebut harus ditamatkan.
Di pihaknya, Gorbachev bersedia untuk menamatkan Pakatan Warsaw yang diterajui oleh USSR, yang merupakan tindak balas negaranya terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang diketuai AS.
Apa yang diminta olehnya sebagai balasan adalah komitmen tegas bahawa Nato tidak akan berkembang ke arah timur, memperluaskan kuasa ketenteraannya ke negara-negara bersebelahan Rusia, sekali gus menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara itu.
Walaupun perjanjian yang dimahukan Gorbachev tidak diterjemahkan dalam bentuk penulisan, para pemimpin AS pada masa itu seperti presiden, Ronald Reagan dan setiausaha negara, James Baker mempunyai beberapa tanggapan mengenai kesan ikrar secara lisan yang telah mereka berikan kepada rakan sejawat di Rusia ketika itu.
Sayang sekali pada tahun-tahun berikutnya, kerajaan AS tidak berusaha untuk berpegang kepada ikrar itu. Sebaliknya, pada tahun 1997, tiga negara bekas Pakatan Warsaw, Hungary, Republik Czech dan Poland, telah dijemput untuk mengadakan rundingan bagi menyertai Nato.
Pada 27 Mac 2020, kesemua tiga negara itu secara rasminya menyertai Nato, walaupun terdapat bantahan daripada kepimpinan Rusia. Beberapa negara lain yang pernah menjadi sebahagian daripada USSR dan yang bersekutu dengan Rusia pada masa lalu kini telah menyertai Nato.
Berdasarkan latar belakang inilah seseorang harus melihat peristiwa pada 2014 yang memburukkan lagi hubungan Russia-Ukraine berhubung dengan Nato. Peristiwa ini dikaitkan secara langsung dengan konflik semasa di Ukraine. Presiden Ukraine yang dipilih secara demokratik, Victor Yanukovich, yang tidak bersedia untuk mengikut secara membuta tuli perintah kuasa Barat telah disingkirkan secara tidak elok daripada kuasanya melalui manipulasi prosedur parlimen dan digantikan dengan rejim baharu yang lebih cenderung ke arah Washington.
Walaupun kerajaan Yanukovich mempunyai kelemahan yang ketara dalam beberapa hal, penyingkirannya secara terancang yang mengukuhkan 'tangan' neo-Nazi dan elemen fasis, melahirkan retorik anti-Rusia yang ganas dan ketegangan di jalanan yang memuncak telah meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Ukraine.
Ketegangan dan pergolakan pemisah di bahagian timur Ukraine dalam tempoh lapan tahun terakhir, yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 14,000 orang, hanya boleh difahami dalam konteks senario pasca 2014 ini.
Senario ini juga yang menjelaskan sebahagiannya mengapa presiden Rusia, Vladimir Putin bertindak seperti apa yang dilakukannya di Crimea dan di Timur Ukraine. Hasrat yang amat besar dalam kalangan sebahagian besar penduduk Crimea untuk menghubungkan semula tanah mereka dengan Rusia yang diperakui dalam referendum 2014 adalah bukti yang tidak dapat disangkal bagaimana rakyat biasa melihat keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Inilah sebabnya mengapa cakap-cakap di Kiev dan Washington beberapa bulan terakhir ini bahawa "Ukraine harus menyertai Nato" atau "Ukraine harus memperoleh senjata nuklear" akhirnya menyebabkan tindak balas seperti sekarang.
Ia meningkatkan kerisauan dalam kalangan golongan elit dan rakyat di Rusia tentang kebimbangan keselamatan mereka. Adalah penting untuk ditekankan sekali lagi bahawa kebimbangan terhadap keselamatan mereka secara kolektif sebagai sebuah negara dan sebagai rakyat adalah apa yang cuba disampaikan oleh Vladimir Putin, Sergei Lavrov dan pemimpin Rusia lain kepada rakan sejawatan mereka di Washington, London, Paris, Berlin dan ibu negara Barat yang lain sejak selama lebih daripada 20 tahun berakhirnya Perang Dingin.
Ringkasnya, Rusia tidak mahu pakatan tentera barat - Nato - 'bertenggek' di pintu masuk negaranya.
Barat enggan menangani kebimbangan yang wajar ini. Lebih buruk lagi, ia dengan sengaja memilih untuk menyangkal kerisauan Rusia.
Ringkasnya, Moscow kini telah diprovokasi untuk bertindak. Memandangkan Washington khususnya tidak bersedia menggunakan diplomasi untuk menangani kebimbangan Rusia, Moscow telah memilih untuk melaksanankan "operasi ketenteraan" khas. Maklum balas Moscow adalah sangat difahami. Ia benar-benar rasional.
Mungkin kita semua harus mengingatkan Washington dan Barat tentang serpihan sejarah mereka sendiri untuk membantu mereka lebih menghargai apa yang berlaku di Ukraine Sekarang. Pada tahun 1962, berlaku krisis politik antarabangsa yang besar. Kita semua berfikir kita berada di ambang perang dunia.
USSR telah mengerahkan peluru berpandu di tanah sekutunya, Cuba, untuk menghadapi musuh bersama mereka, Amerika Syarikat. Cuba terletak hanya 90 kilometer dari pantai AS. Presiden AS ketika itu, John Kennedy, melihatnya sebagai tindakan provokasi. Beliau mahu peluru berpandu tersebut dialihkan serta-merta. Jika tidak, beliau akan menyerang Cuba. Selepas beberapa rundingan, pemimpin Cuba, Fidel Castro meminta rakan-rakan Sovietnya untuk mengalihkan peluru berpandu. Krisis Cuba dapat diredakan.
Sebagai tindak balas kepada keputusan Castro, Kennedy didakwa telah berjanji untuk tidak menggulingkan Castro melalui cara yang menyalahi undang-undang. Sama ada beliau berpegang pada kata-katanya atau tidak, ia tidak dapat dipastikan kerana Kennedy telah dibunuh pada November 1963 sebelum melengkapkan penggal kedua sebagai presiden AS. Beberapa penggantinya selepas itu cuba melemahkan Castro tetapi itu adalah cerita lain.
Situasi di Cuba 60 tahun lalu adalah relevan dengan keadaan semasa di Ukraine. Sama seperti tindakan AS yang tidak mahu peluru berpandu Rusia berada berhampiran negaranya pada tahun 1962, Rusia pada tahun 2022 tidak mahu kuasa tentera Barat yang kuat di kawasannya. Kepimpinan Cuba memahami apa yang perlu dilakukan untuk meredakan kebimbanga AS. Satu harapan bahawa kerajaan AS dan Barat hari ini menyedari mengapa adalah sangat penting untuk meredakan kebimbangan Rusia mengenai keselamatannya.
Secara ringkas, kedua-dua situasi menuntut kesedaran terhadap kenyataan lama yang terdapat dalam semua tradisi rohani dan moral: Jangan lakukan kepada orang lain perkara yang anda tidak mahu orang lain lakukan kepada anda. Ia adalah kebenaran yang telah digambarkan sebagai etika asas dalam hubungan antara manusia, masyarakat dan negara. Ia, dalam bahasa mudah, merupakan Peraturan Emas dalam Kehidupan atau 'Golden Rule of Life'. Golongan elit AS khususnya tidak begitu mengambil berat terhadap perkara ini dalam hal ehwal antarabangsa. — The Star
Dr Chandra Muzaffar
Presiden Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST)
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
