PIHAK pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda telah membuka kertas siasatan terhadap dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Ukraine, selepas orang awam telah dibunuh dan bandar-bandar musnah ekoran pencerobohan Rusia.
Pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata pada Khamis, dia telah memulakan siasatan berdasarkan rujukan dari 39 negara, termasuk Britain, Jerman, Perancis dan Poland.
“Saya telah memberitahu Presidensi ICC mengenai keputusan saya untuk segera meneruskan siasatan aktif dalam situasi itu.
"Kini kami sedang melakukan pengumpulan bukti untuk kes ini,” katanya.
Khan kini boleh memulakan siasatan tanpa memerlukan kelulusan kehakiman.
ICC ialah badan kehakiman bebas yang menyiasat dan jika perlu, membicarakan individu yang didakwa dengan jenayah paling berat yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.
Antara kes yang dibicarakan adalah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
“Mahkamah sedang mengambil bahagian dalam perjuangan global untuk menamatkan impunitas, dan melalui keadilan jenayah antarabangsa.
"Mahkamah berhasrat untuk mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab atas jenayah mereka dan membantu menghalang jenayah ini daripada berulang,” kata laman web ICC.
ICC bukan sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi perjanjian penubuhannya telah diterima pakai oleh Perhimpunan PBB pada persidangan di Rom pada Julai 1998.
Statut Rom adalah hasil daripada proses pertimbangan yang panjang terhadap persoalan undang-undang jenayah antarabangsa dalam PBB, menurut laman webnya. Ia berkuat kuasa pada 1 Julai 2002 selepas disahkan oleh 60 negara.
ICC mendakwa empat kesalahan, yang dianggap sebagai jenayah terburuk di dunia ialah jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah pencerobohan.
Ia mentakrifkan jenayah perang sebagai pelanggaran serius terhadap konvensyen Geneva dalam konteks konflik bersenjata contohnya, penggunaan askar kanak-kanak; pembunuhan atau penyeksaan orang seperti orang awam atau tawanan perang.
Ia termasuk dengan sengaja mengarahkan serangan terhadap hospital, monumen bersejarah, atau bangunan yang didedikasikan untuk agama, pendidikan, seni, sains dan tujuan amal.
Jenayah terhadap kemanusiaan ialah pelanggaran serius yang dilakukan sebagai sebahagian daripada serangan berskala besar terhadap mana-mana penduduk awam dan termasuk pembunuhan, rogol, pemenjaraan, kehilangan secara paksa (culik), dan perhambaan, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
"Pembunuhan beramai-ramai dicirikan oleh niat khusus untuk memusnahkan keseluruhan atau sebahagian kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama dengan membunuh ahlinya atau dengan cara lain seperti kecederaan fizikal atau mental.
"Jenayah pencerobohan ialah penggunaan angkatan bersenjata oleh sesebuah negara terhadap kedaulatan, integriti atau kemerdekaan negara lain," menurut ICC.
Seseorang individu yang didapati bersalah melakukan jenayah perang berkemungkinan akan dipenjara 30 tahun atau penjara seumur hidup, bergantung kepada tahap kesalahan. Mahkamah bagaimanapun tidak boleh menjatuhkan hukuman mati.
Khan berkata, dia berpuas hati bahawa terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa kedua-dua dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang berlaku di Ukraine.
PBB telah merekodkan 230 kematian orang awam, termasuk 15 kanak-kanak sejak pencerobohan Rusia bermula. Perkhidmatan kecemasan Ukraine meletakkan angka kematian orang awam lebih daripada 2,000 orang.
Ia juga menuduh Rusia memusnahkan tadika, hospital, rumah dan rumah anak yatim.
Rusia telah mengebom kawasan awam tanpa henti, menyerang bandar utama Ukraine Kyiv, Kharkiv, Kherson, dan Mariupol. Serangan peluru berpandu, yang memusnahkan menara TV di Kyiv, selain menghancurkan tugu peringatan Holocaust Babyn Yar dan sebuah muzium. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
