Ukraine akan diserang tidak lama lagi


  • Benua
  • Sabtu, 19 Feb 2022

PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskiy (tengah) melawat kawasan yang dijadikan lokasi pertahanan negara. — Agensi

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden percaya bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin sudah membuat keputusan untuk menyerang Ukraine dalam masa beberapa hari akan datang.

Biden berkata, pihaknya juga percaya yang Rusia akan menyasarkan ibu negara Ukraine, Kyiv sebagai lokasi utama serangan.

"Setakat ini, saya yakin beliau telah buat keputusan. Kami punya sebab untuk mempercayainya. Kami ada sebab untuk percaya tentera Rusia merancang dan berhasrat menyerang Ukraine pada beberapa hari dan minggu akan datang," katanya ketika menjawab soalan pada sidang media di Rumah Putih pada Jumaat.

Biden berkata, jika Moscow menyerang Ukraine, Rusia akan bertanggungjawab terhadap sebuah peperangan dahsyat yang sepatutnya tidak patut berlaku.

"Amerika Syarikat bersama sekutu dan rakan kongsi kami akan menyokong rakyat Ukraine. Kami akan meminta Rusia bertanggungjawab atas tindakannya. Barat akan beriltizam dan bersatu.

"Kami bersedia mengenakan sekatan ketat terhadap Rusia jika ia terus berhasrat menyerang negara itu,” tambahnya.

Menurut Biden, pertemuan antara Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada 24 Feb masih boleh diadakan.

Beliau berkata, jika Moscow menyerang Ukraine sebelum tempoh berkenaan, AS akan menutup pintu diplomasi.

"Jika mereka memilih perang, mereka akan menerima akibat berbuat demikian.

"Bukan sahaja sekatan, tetapi Rusia akan berdepan kemarahan seluruh dunia yang mengecam mereka," kata Biden.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin mengenai potensi pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, termasuk dari Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Romania dan United Kingdom.

Negara-negara Barat menuduh Rusia mengumpulkan lebih 100,000 tentera berhampiran Ukraine, mencetuskan kebimbangan serangan ketenteraan terhadap bekas jirannya Soviet.

Moscow menafikan dakwaan itu sebaliknya menuduh pihak Barat menjejaskan keselamatannya melalui peluasan anggota Nato di sempadannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram