Kesihatan Rayan merosot, bergantung bekalan oksigen


  • Benua
  • Sabtu, 05 Feb 2022

PASUKAN keselamatan berusaha menyelamatkan Rayan pada hari kelima operasi menyelamat sejak kanak-kanak berusia lima tahun itu terjatuh ke dalam sebuah perigi pada 1 Februari lalu. — Fadel Senna/AFP

KEADAAN kanak-kanak lelaki yang jatuh dan terperangkap dalam lubang perigi sempit di Maghribi dilaporkan semakin lemah.

Laporan terbaharu di lokasi kejadian menyatakan kesihatan Rayan yang berusia lima tahun semakin merosot dan bergantung kepada bekalan oksigen yang dipam ke dalam lubang tersebut.

Rayan terperangkap dalam lubang sedalam 32 meter sejak Selasa lalu berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Ighrane di wilayah Chefchaouen.

Ketika ini, pasukan penyelamat bertungkus-lumus untuk membawa keluar mangsa, namun penggalian semakin rumit susulan risiko berlaku runtuhan dalam lubang berkenaan.

Sejak Selasa, jentera berat termasuk jentolak digunakan bagi membantu kerja-kerja penggalian tetapi jarak dua meter terakhir dari kedudukan mangsa adalah paling kritikal.

Jurucakap kerajaan, Mustapha Baitas sebelum ini memberi jaminan bahawa Rayan akan dikembalikan kepada keluarganya dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat menyatakan empat meter sudah digali secara manual dan tinggal 180 sentimeter sahaja lagi untuk mencapai Rayan.

Penyelamat memberi amaran bahawa jarak dua meter terakhir dari kedudukan mangsa adalah paling kritikal.

Difahamkan, helikopter sudah berada di lokasi kejadian di perkampungan Ighrane untuk membawa Rayan ke hospital segera. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram