Thailand, Arab Saudi setuju pulihkan hubungan diplomatik


  • Benua
  • Rabu, 26 Jan 2022

PUTERA Mahkota Arab Saudi menerima kunjungan Prayuth Chan o-cha di Riyadh, Arab Saudi pada Selasa. — Reuters

THAILAND dan Arab Saudi setuju memulihkan kembali hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di mesyuarat peringkat tinggi pertama yang diadakan sejak lebih tiga dekad di Riyadh baru-baru ini.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud ketika sesi mesyuarat rasmi pada Selasa, bersetuju memulihkan sepenuhnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin itu dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka bersetuju melantik duta dalam masa terdekat dan menubuhkan mekanisme rundingan untuk membentuk kerjasama dua hala, kata kenyataan itu.

"Langkah bersejarah itu adalah hasil usaha jangka panjang di pelbagai peringkat di kedua-dua pihak demi memulihkan kepercayaan dan hubungan.

"Koordinasi intensif akan dimulakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi membincangkan kerjasama dua hala yang melibatkan bidang strategik utama," menurut kenyataan bersama itu, yang disediakan oleh Kementerian Luar Thailand.

Pengumuman itu menandakan berakhirnya hubungan buruk antara kedua-dua negara sejak tiga dekad.

Arab Saudi menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Thailand berikutan kes kecurian barangan kemas bernilai kira-kira US$20 juta, termasuk berlian biru 50 karat yang sangat bernilai pada 1989 oleh pekerja pembersihan Thailand yang bekerja di istana seorang putera Saudi.

Kes kecurian yang digelar 'The Blue Diamond Affair', menyaksikan polis Thailand memperoleh semula dan memulangkan beberapa permata yang dicuri tetapi pegawai Arab Saudi mendakwa kebanyakannya adalah palsu, manakala nasib berlian biru itu masih menjadi misteri.

Pada tahun berikutnya, tiga diplomat Saudi di Thailand dibunuh dalam satu malam.

Seorang ahli perniagaan Saudi Mohammad al-Ruwaili yang dihantar untuk menyiasat kes kecurian itu pada 1990, dilaporkan hilang di Bangkok.

Pada 2014, mahkamah jenayah Thailand mengetepikan kes terhadap lima lelaki, termasuk seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh Ruwaili.

Sementara itu, Prayuth melahirkan rasa kesalnya terhadap insiden tragis membabitkan diplomat Saudi di Thailand antara 1989 dan 1990, menurut kenyataan itu.

"Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa Thailand cuba sedaya upaya menyelesaikan kes itu dan bersedia membuka kes sekiranya bukti baharu muncul.

"Beliau juga menegaskan komitmen Thailand untuk menjamin keselamatan anggota misi Kedutaan Arab Saudi di Bangkok selaras dengan Konvensyen Vienna 1961 mengenai Hubungan Diplomatik,” katanya.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan keazaman menyelesaikan semua isu tertangguh antara Thailand dan Arab Saudi.

Ia berkata kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan mengukuhkan ikatan persahabatan antara kedua-dua negara serta membuka lembaran baharu.

"Kedua-dua pihak juga mengulangi komitmen melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan wakil kedutaan di negara masing-masing," katanya.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pengukuhan dan meningkatkan hubungan ekonomi serta perdagangan dengan meneroka pelaburan dan peluang menerusi konteks Wawasan Saudi 2030 dan agenda pembangunan negara Thailand, Bio-Circular-Green Economy.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju meneroka bidang kerjasama baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui, alam sekitar, transformasi digital dan keselamatan siber.

"Mereka turut menekankan kepentingan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat, yang menjadi asas kepada perkembangan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan, serta menggalakkan dialog antara agama dan pelbagai budaya,” katanya.

Kenyataan itu berkata kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

"Mereka juga bersetuju meningkatkan interaksi dan penyelarasan antara agensi kerajaan serta sektor swasta demi meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu untuk manfaat bersama,” katanya.

Prayuth mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi pada Selasa, atas jemputan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, seterusnya menamatkan hubungan dingin antara kedua-dua negara sejak 1989. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram