SYARIKAT dobi layan diri, Laundrybar menyasarkan pembukaan 50 cawangan kedai mega (megastore) bagi tahun perniagaan 2022.
Menurut pengasas dan Pegawai Eksekutif Laundrybar, Paul Ang, sasaran itu merupakan langkah untuk mengukuhkan lagi empayar jenama itu di Malaysia.
"Laundrybar mempunyai 530 cawangan dan jumlah itu akan dikembangkan lagi menerusi program francais yang ditawarkan oleh pihak kami.
"Kami percaya sasaran ini boleh dicapai kerana perniagaan dobi layan diri merupakan satu cabang yang boleh memberi keuntungan berikutan ia merupakan satu keperluan masyarakat masa kini," katanya kepada Majoriti.
Paul berkata demikian selepas pelancaran cawangan megastore Laundrybar di Kota Damansara, Selangor yang juga merupakan francais ke 530 dan terbesar Malaysia pada Ahad.
Sementara itu, Paul turut memberitahu, Laundrybar juga dalam perancangan untuk menambah cawangan di Asia Tenggara pada 2022.
Selepas mengukuhkan jenama di pasaran Thailand, Brunei dan Turki, Paul memberitahu jenama Laundrybar kini menyasarkan untuk memperluaskan lagi perniagaan di Filipina dan Singapura.
"Setakat ini kita sudah 150 cawangan baharu di Asia Tenggara dan jumlah tersebut akan bertambah untuk tahun 2022.
"Filipina dan Singapura merupakan dua negara yang berpotensi dan mempunyai prospek pengguna yang besar dan aktif, sekiranya situasi pandemik semakin pulih, kami akan mengukuhkan lagi jenama kami di sana," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram