PERDANA Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha pada Selasa akan memulakan lawatan dua hari ke Arab Saudi sebagai memenuhi jemputan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama oleh seorang Perdana Menteri Thailand dalam tempoh tiga dekad - menunjukkan pemulihan hubungan berikutan penurunan taraf dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 1989.
"Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan, akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi untuk mengukuh dan mempromosikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan Kementerian Luar Thailand.
Media melaporkan Arab Saudi menurunkan taraf hubungan diplomatiknya dengan Bangkok susulan kes kecurian permata bernilai kira-kira RM83 juta, termasuk berlian biru 50 karat yang jarang ditemui, pada 1989 oleh seorang pekerja pembersih Thailand yang bekerja di istana seorang putera Saudi.
Berikutan kecurian itu yang digelar "The Blue Diamond Affair”, polis Thailand berjaya menemuinya dan memulangkan beberapa permata yang dicuri namun pihak Saudi mendakwa kebanyakannya adalah palsu, manakala keberadaan berlian biru yang jarang ditemui itu masih menjadi misteri.
Lebih memburukkan keadaan, pada 1990 tiga diplomat Saudi di Thailand dibunuh pada hari yang sama, dan ahli perniagaan Saudi Mohammad al-Ruwaili, yang dihantar untuk menyiasat barang kemas yang hilang, turut dilaporkan hilang di Bangkok.
Pada 2014, mahkamah jenayah Thai menolak kes terhadap lima lelaki - termasuk seorang pegawai kanan polis - yang didakwa membunuh Ruwaili.
Arab Saudi tidak menghantar dutanya ke Thailand selama beberapa dekad dan menyekat perjalanan antara kedua-dua negara. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram