Thailand bakal halalkan ganja


  • Benua
  • Selasa, 18 Jan 2022

THAILAND menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan ganja dalam sektor perubatan, makanan dan kosmetik. — Agensi

THAILAND merancang untuk tidak lagi mengharamkan penggunaan ganja, satu langkah ke hadapan bagi membenarkan bahan itu digunakan sebagai tujuan rekreasi.

Sebelum ini, Thailand negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan tumbuhan itu dalam sektor perubatan, makanan dan kosmetik.

Pentadbiran Makanan dan Dadah Kebangsaan (FDA) bersedia mencadangkan untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah terkawal kepada lembaga kawalan narkotik pada Rabu.

Sebaik sahaja ia diluluskan oleh lembaga itu, cadangan tersebut perlu diluluskan oleh Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul sebelum ia berkuat kuasa.

Langkah itu akan membenarkan orang ramai mengakses sepenuhnya tumbuhan itu tanpa rasa takut akan hukuman penjara bagi tempoh lama selain dikenakan jumlah denda yang tinggi, kata Timbalan Setiausaha Agung FDA, Withid Sariddeechaikool.

Ketika ini, individu yang memiliki ganja di Thailand boleh dipenjara sehingga 15 tahun, berikutan tumbuhan itu adalah sejenis dadah narkotik kategori lima.

"Jika kita membenarkan penggunaan dadah, kita akan dapat manfaat daripada semua tumbuhan itu dan bukan hanya sebahagian daripadanya.

"Putik bunga dan benih boleh digunakan secara ekonomi dan mematuhi undang-undang," kata Withid.

Disebabkan ia diklasifikasikan sebagai narkotik, setiap individu dilarang memiliki ganja meskipun negara berkenaan telah membenarkan lebih banyak perniagaan mengakses tumbuhan itu.

Tahun lalu, negara itu telah menghalalkan kratom, sejenis tumbuhan psikoaktif yang serupa dengan opiat, yang berasal dari negara tropika Asia Tenggara.

"Walaupun perubahan undang-undang akan membenarkan semua bahagian ganja dibeli, dijual dan digunakan, tetapi bagi tujuan rekreasi mungkin akan kekal terkawal," kata Chaiwat Sowcharoensuk, penganalisis di Pusat Penyelidikan Krungsri.

"Pengeluar sabun, produk kecantikan dan kosmetik daripada ganja berkemungkinan menjadi pihak yang paling mendapat manfaat," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ganja, Thailand, penjara, denda