'Kantoi' sorok ganja 248kg dalam kereta di Pengkalan Chepa


  • 112
  • Isnin, 17 Jan 2022

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — JKDM Kelantan

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 248 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM620,000 dalam serbuan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu jam 11.30 pagi Ahad.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, pihaknya menemui kesemua ganja berkenaan di dalam 10 guni yang disembunyikan di dalam sebuah Proton Exora yang diparkir di sebuah garaj di Jalan Cempaka Panji.

Tambahnya, pihaknya bertindak berdasarkan maklumat dan intipan awal yang dilakukan.

"Siasatan awal mendapati kesemua ganja mampat itu dipercayai diseludup masuk secara berperingkat melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

"Dadah ini kemudiannya dikumpul dan disembunyikan di satu tempat dan apabila dirasakan sudah selamat barulah dadah itu akan diedarkan ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram