OKT lari 50 meter sebelum ditahan semula di Semenyih


  • 112
  • Rabu, 12 Jan 2022

TANGKAP layar video tular yang memaparkan lelaki itu cuba melarikan diri daripada polis.

SEORANG individu yang ditahan polis cuba melarikan diri selapas melakukan ujian saringan Covid-19 Klinik Kesihatan Beranang, Semenyih, Selangor pada Selasa.

Kejadian itu tular di media sosial namun polis mengesahkan telah menahan semula lelaki itu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pada 11 pagi itu, anggota polis bertugas telah mengiringi 19 orang kena tuduh (OKT) dari Balai Polis Kajang ke klinik berkenaan dengan menaiki lori polis.

"Setelah selesai ujian saringan, kesemua OKT dinaikkan semula ke dalam lori polis. Secara tiba-tiba seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun OKT itu ditahan semula dan dimasukkan ke lokap Balai Kajang dengan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau merujuk satu video tular di laman sosial TikTok menerusi akaun id@goodymy_official berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang OKT memakai baju dan seluar berwarna ungu terlepas semasa urusan menaikkan OKT berkenaan ke dalam lori polis.

Katanya, lelaki terbabit merupakan OKT yang ditahan bersabit kes samun dan sedang dalam tempoh reman hingga esok.

Mohd Zaid berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, lari, orang kena tuduh, Kajang