Polis edar lakaran wajah pembunuh kejam ibu, anak di Subang


  • Benua
  • Ahad, 09 Jan 2022

PENDUDUK di Subang, Jawa Barat Indonesia dikejutkan dengan penemuan mayat ibu dan anak berlumuran darah di dalam but kereta jenis Alphard. — Agensi

POLIS Daerah Jawa Barat meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengenali individu yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan pasangan ibu dan anak di Kabupaten Subang, Jawa Barat, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Jawa Barat, Komisaris Besar Ibrahim Tompo berkata, buat masa ini, lakaran wajah suspek telah diedarkan kepada orang ramai bagi mencari pencerahan dalam kes itu.

"Bagi yang tahu identiti sama seperti lakaran, tolong berikan maklumat kepada pihak polis,” kata Ibrahim di Bandung, Jawa Barat pada Sabtu seperti dilaporkan portal Liputan6.com.

Kes pembunuhan ibu dan anak yang masing-masing bernama Tuti, 55, dan Amelia, 23, masih belum dirungkaikan selepas hampir lima bulan.

Menerusi beberapa siri siasatan yang telah dijalankan sehingga penghujung Disember tahun lalu, polis hanya berhasil mengeluarkan lakaran suspek yang didakwa melakukan kesalahan itu.

Sementara itu, Ibrahim berkata, polis juga masih menjalankan siasatan bagi membongkar dua lagi bukti bagi menentukan suspek kes berkenaan.

“Memang ada lakaran muka yang sudah diketahui penyiasat, untuk itu kita berharap suspek dapat segera ditangkap bagi menentukan pelakunya,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di Subang dikejutkan dengan penemuan mayat ibu dan anak berlumuran darah di dalam but kereta jenis Alphard di Dusun Ciseuti, Desa Jalan Cagak, Kecamatan Jalan Cagak, Kabupaten Subang pada Rabu, 18 Ogos 2021.

Polis mengesahkan mayat itu adalah mangsa pembunuhan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram