Empat bulan dibelenggu masalah air bau bangkai


  • Benua
  • Sabtu, 08 Jan 2022

SEBAHAGIAN penduduk di Kampung Kubur Baru perlu menyedut air untuk mendapatkan bekalan yang bersih. — Agensi

KRISIS air bersih di Kampung Kubur Baru, Jakarta Utara, Jakarta, Indonesia sudah berlarutan sejak empat bulan lalu hingga menyebabkan penduduk kampung mengakui bosan dengan keadaan air yang dikatakan berbau bangkai.

Seorang penduduk, Ket Liong, 42, berkata, dia perlu menyedut dan mengumpul air pada waktu tertentu bagi mendapatkan bekalan yang bersih.

"Kadang-kadang pukul 11 ​​malam, sampai pukul 1 pagi. Ada masanya saya tadah air pada pukul 3 pagi hingga pukul 7 pagi.

"Pada masa tersebut, airnya lebih bersih. Keadaan ini berlarutan sudah empat bulan," kata Ket Liong seperti dilaporkan Detik.com.

Pada waktu lain, Ket Liong mendakwa, air yang keluar daripada paip dikatakan berbau pelik seperti bau bangkai.

"Jadi kalau timbul bau macam tu, saya akan segera berhenti tadah air," katanya yang membelanjakan kira-kira 200,000 rupiah (RM58.71) sebulan untuk membeli air daripada penduduk kampung lain.

Perkara yang sama turut dialami oleh oleh Maryani, 42, yang berharap kerajaan segera menyelesaikan masalah air berbau di kawasan berkenaan.

"Air adalah perkara asas dan utama dalam kehidupan. Memang sukar bagi kami jika keadaan begini. Mohon kerajaan serius menangani masalah ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pejabat Sumber Daya Air Jakarta, Dudi Gardesi berkata, pihaknya akan memeriksa punca kepada krisis air bersih di Kampung Kubur Baru. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

air, berbau, bangkai, Jakarta Utara, Indonesia