PIHAK berkuasa China memaklumkan, kakitangan sebuah hospital di Xian telah dihukum berikutan melarang seorang wanita sarat mengandung daripada memasuki hospital kerana gagal menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19.
Ini menyusuli satu video tular yang memaparkan wanita itu mengalami keguguran di luar hospital.
Bandar dengan 13 juta penduduk itu kini berada di bawah sekatan pergerakan yang ketat selama dua minggu sebagai strategi ke arah sifar Covid-19.
Catatan berhubung kejadian menyedihkan itu dimuat naik di media sosial oleh anak saudara mangsa pada 1 Januari.
Pada masa sama, dia turut memuat naik gambar-gambar dan video wanita itu duduk atas bangku plastik di luar hospital dalam keadaan berlumuran darah.
Catatan itu kemudiannya dipadamkan, namun sudah meraih ratusan juta tontonan dan mencetuskan kemarahan netizen.
Pihak berkuasa China dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kejadian di Hospital Xian Gaoxin itu mencetuskan kebimbangan dan kesan sosial yang buruk terhadap masyarakat.
"Pengurus besar hospital itu sudah digantung sementara daripada tugasnya manakala pegawai berkaitan di jabatan pesakit luar itu pula sudah diberhentikan," katanya seperti dilaporkan Global Times.
Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Bandar Xian juga mengarahkan pihak hospital supaya meminta maaf kepada orang awam dan mengambil iktibar insiden tersebut bagi memperbetulkan elemen 'bahaya yang tidak disedari dalam proses kerja'. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram