NIGERIA menghapuskan lebih sejuta vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang telah luput pada Selasa.
Vaksin yang dimusnahkan itu adalah hasil sumbangan dari negara barat dan pihak berkuasa kesihatan negara tersebut berkata, jangka hayat vaksin yang diberikan itu hanya bertahan selama beberapa minggu.
Kesemua vaksin itu dimusnahkan di sebuah lokasi pembuangan sampah di kota Abuja dengan menggunakan sebuah jentolak sambil disaksikan pihak kesihatan.
Ketua Agensi Pembangunan Penjagaan Kesihatan Utama Negara, Faisal Shuaib berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah telus kepada rakyat Nigeria.
"Kita mahu buktikan yang vaksin untuk Nigeria hanya akan diberikan mengikut tarikh yang sepatutnya.
"Tidak ada vaksin yang sudah tamat tarikh luput diberikan dan ini juga sebagai langkah untuk warga Nigeria percaya dengan program vaksinasi kami," katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Osagie Ehanire berkata, mereka tidak akan menerima lagi vaksin yang mempunyai jangka hayat pendek.
Setakat 19 Disember lalu, sebanyak 12 juta dos vaksin telah diberikan dan jumlah itu perlu dipertingkatkan apatah lagi negara itu mempunyai lebih 200 juta penduduk. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram