Demi wang, lelaki sanggup disuntik vaksin Covid-19 sebanyak 17 kali


  • Benua
  • Khamis, 23 Dis 2021

ABDUL Rahim, 49, mendakwa telah disuntik vaksin sebanyak 17 kali. — Agensi

VIDEO seorang lelaki di Indonesia tular kerana mengaku disuntik vaksin Covid-19 sebanyak 17 kali dalam tiga bulan.

Menurut portal Tribunnews.com, lelaki bernama Abdul Rahim, 49, itu berasal dari Pinrang, Sulawesi Selatan.

Difahamkan, pada awalnya buruh bangunan itu menerima tawaran dari kawannya untuk digantikan ketika proses vaksinasi sebelum menerima lebih banyak tawaran daripada orang ramai.

Abdul Rahim mendakwa menjadi joki vaksin dengan upah antara 100,000 (kira-kira RM29.50) hingga 800,000 rupiah (kira-kira RM236) untuk sekali vaksin.

Dalam videonya, Abdul Rahim memaklumkan sedia menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi pihak orang lain selagi menerima bayaran.

Susulan penularan video itu, Detektif Jenayah Polis Pinrang, Deki Marizaldi memaklumkan pihaknya masih berusaha mengumpulkan maklumat berkaitan kes berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga sudah merujuk dengan pasukan Covid-19 Pinrang.

"Kami masih melakukan pemantauan. Kami sedang mengenal pasti siapa dan apa motif Abdul Rahim mengatakan demikian," jelas Deki.

Berdasarkan maklumat awal yang tersebar, Abdul Rahim disyaki mempunyai masalah mental. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Abdul Rahim, vaksin, joki, Covid-19, Indonesia