Gara-gara dimarahi bos, pekerja bakar pasar raya


  • Benua
  • Khamis, 23 Dis 2021

API marak dan asap tebal menyelubungi pasar raya itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. — Agensi

PADA mulanya, Alexander Schnaider yang berusia 33 tahun dimarahi majikannya berhubung tanda harga yang bercampur-campur di tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Tomsk, Rusia pada Selasa.

Tidak berpuas hati, dia kemudiannya bertindak membakar pasar raya itu. Kebakaran itu menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit.

Schnaider didakwa menyiram kotak bunga api dengan alkohol dan kemudiannya menyalakan api sebelum meninggalkan kedai.

Memetik sumber polis, Life Shot melaporkan tugas Schnaider adalah menukar label harga, namun dia sering mengelirukan mereka dengan meletakkan tanda harga di tempat yang salah.

"Pengurus kerap mengkritik dan menyuruhnya untuk melabel semula. Jadi, dia muak dan marah dengan pengurus itu," kata sumber polis.

Susulan kejadian itu, polis menahan Schnaider dan dia telah didakwa atas tuduhan membakar bermotifkan 'isu peribadi' terhadap pihak pengurusan pasar raya.

Schnaider mengakui jenayah yang telah dilakukannya.

"Ada cecair mudah terbakar di kaunter, saya mula menyemburnya dan kemudian menyalakan api. Apabila api semakin besar saya lihat pihak keselamatan cuba memadamkannya.

“Terdengar jeritan dan panik. Saya hanya berpaling, memakai jaket dan pulang ke rumah," kata Schnaider kepada polis.

Kira-kira 200 orang pelanggan dan kakitangan diselamatkan di cawangan pasar raya Lenta, Tomsk, Rusia.

Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Anggota bomba mengambil masa selama 11 jam untuk memadamkan kebakaran itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

benua, bakar, pasar raya, dimarahi, majikan