Hospital sarat pesakit Covid-19 tidak divaksin, petugas kesihatan keletihan


  • Benua
  • Khamis, 23 Dis 2021

PETUGAS kesihatan di Belgium sudah mula merasakan keletihan yang melampau. — Agensi

VARIAN terbaharu Covid-19 iaitu Omicron dilihat akan membawa Belgium memasuki fasa ke lima jangkitan virus tersebut.

Walaupun berjaya berdepan dengan gelombang keempat sebelum ini, petugas kesihatan di negara tersebut mengakui tahap keletihan mereka sudah semakin memuncak.

Ketua Perkhidmatan Penyakit Berjangkit di sebuah hospital awam di Leige, Martial Moonen berkata, doktor dan jururawat yang bertugas sudah mula merasakan keletihan melampau.

Menurut Moonen, wadnya kini diduduki 70 pesakit Covid-19 dengan 14 daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU).

"Seorang pesakit Covid-19 yang kritikal terpaksa duduk di ICU selama sebulan dan itu lebih lama daripada purata kemasukan akibat penyakit lain iaitu selama tiga hari.

"Ini juga bermakna sepanjang kita merawat 15 pesakit Covid-19, kita telah menghalang 100 ke 150 orang pesakit lain daripada diberi rawatan di ICU," katanya.

Moonen berkata, petugas kesihatan yang sakit juga tidak dapat diganti dan ini menyebabkan kekurangan kakitangan sekaligus meletihkan mereka yang sedang bekerja.

Jelasnya, apa yang dikesalkan juga adalah sebahagian besar daripada pesakit yang masuk ke hospital tidak mengambil vaksin.

Dalam pada itu, beberapa pakar virologi dan ahli epidemiologi di Belgium berkata, mereka menjangkakan gelombang ke lima Covid-19 akan melanda dalam masa beberapa hari.

Untuk rekod, negara dengan 11.5 juta penduduk itu telah merekodkan 28,000 kematian akibat Covid sepanjang keseluruhan wabak itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Benua, Covid-19, Belgium, Antivaksin, Omicron