BUKIT Aman mengerahkan 30 pasukan daripada skuad Cantas Jabatan Siasatan Jenayah bagi membendung kegiatan curi dan rompakan di kawasan banjir, kata Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Ketua Polis Negara berkata, pasukan yang terdiri daripada 120 anggota dan pegawai itu dikerahkan berikutan terdapat tujuh kes dilaporkan di Selangor.
“Empat kes dilaporkan di Shah Alam, dua di Klang Utara dan satu di Klang Selatan.
“Kita sedia maklum ada pihak yang mengambil kesempatan di atas musibah itu dengan merompak dan mencuri.
"Pasukan Cantas akan memastikan jenayah seperti itu tidak berulang," katanya pada sidang media di pusat operasi banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Bercakap mengenai cubaan mencuri kenderaan yang terjejas akibat banjir, Acryl Sani berkata, seorang pemandu trak tunda telah ditahan.
Pada masa sama, beliau menasihati individu yang tidak mempunyai bekalan makanan atau keperluan untuk pergi ke pusat operasi banjir yang didirikan di kawasan masing-masing.
"Pusat-pusat ini mempunyai makanan dan bekalan yang mencukupi. Mangsa banjir, sama ada mereka warganegara atau warga asing boleh datang mengambilnya," katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa talian MERS 999 tidak dapat dihubungi ketika banjir, Acryl Sani berkata, beliau akan menyemak semula perkara itu.
"Talian itu sepatutnya boleh dihubungi pada setiap masa. Saya akan menyemaknya semula," katanya.
Setakat ini, katanya, seramai 68,341 mangsa banjir ditempatkan di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Katanya, tujuh negeri dan wilayah terjejas akibat banjir iaitu Pahang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan membabitkan 30 kawasan polis.
“Sebanyak 37 kematian direkodkan manakala 10 lagi masih hilang,” katanya.
Mengulas dakwaan percanggahan dalam statistik kematian akibat banjir di kalangan agensi, Acryl Sani berkata, statistik polis adalah berdasarkan laporan polis, yang mana setiap kematian mesti dilaporkan mengikut Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut Jabatan Saliran dan Pengairan, katanya, terdapat 23 lokasi yang mana sungai berada pada tahap bahaya atau amaran.
“Seramai 66,015 anggota daripada pelbagai agensi telah ditempatkan di kawasan yang dilanda banjir di seluruh negara.
"Lebih 1,600 bot digerakkan bagi misi menyelamat dan menghantar bekalan kepada mangsa. Lebih banyak aset akan dikerahkan apabila diperlukan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram