"MACAM hero, dari pagi hingga malam, mereka tolong jiran sana sini," demikian reaksi Noor Marina Zehan Zainal Abidin, 41, apabila ditanya mengenai inisiatif sekumpulan lima pemuda yang bersusah payah membantu memasak dan mengedarkan makanan kepada mangsa di kawasan kejiranan yang terperangkap dalam banjir, baru-baru ini.
Noor Marina Zehran seorang daripada jiran yang dibantu Muhd Saiful Izhar, 26, dan empat lagi rakannya yang berusia 20-an, semasa bencana banjir teruk yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam, sejak 18 Disember lepas, walaupun mereka juga terperangkap dalam bencana itu.
"Bersyukur sangat-sangat, sebab memang kita orang tengah lapar sangat. Kita mana pandai nak berenang nak cari makanan,” kata wanita itu.
Sementara itu, menceritakan pengalaman mengedarkan makanan yang siap masak kepada jiran-jiranya bagi menggalas perut, Muhd Saiful yang berasal dari Taiping, Perak yang telah dua tahun menyewa rumah teres dua di taman perumahan berkenaan berkata mereka tidak sanggup melihat jiran-jirannya kelaparan meminta makanan.
Katanya beliau dan rakan-rakannya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini, bertindak meredah air banjir di tingkat bawah rumah sewa mereka untuk mengambil peralatan memasak seperti dapur gas dan tong gas untuk dibawa naik ke tingkat atas.
Bagi mendapatkan bahan masakan mereka kemudian bertindak menyelam ke bahagian dapur rumah jirannya dan mengambil apa sahaja makanan yang terdapat dari dalam peti sejuk yang sedang terapung-apung untuk mengeluarkan sayur dan ayam selain maggi dan tin sardin serta makanan kering diperoleh dari kabinet dapur.
"Malam kedua (Ahad), dah banjir teruk dan semua dah kembali lapar.
"Kami kesian mereka kebanyakan orang tua, jadi kami menyelam dan merendah air banjir untuk ke dapur yang airnya sudah mencecah siling untuk ambil peralatan masak. Selepas itu kami dibenarkan masuk ke dapur rumah jiran untuk cari apa yang ada dengan cara menyelam jugak," katanya.
Muhd Saiful berkata beliau dan rakan-rakannya bergilir-gilir memasak makanan seperti nasi goreng dan maggi dua kali sehari, di suatu ruang kecil di bahagian luar tingkat atas rumah teres berkenaan yang dijadikan ‘dapur’ dan tempat lepak mereka semasa terperangkap dalam bencana banjir.
Katanya mereka kemudian mengedarkan juadah yang siap dimasak itu dengan berenang ke rumah-rumah jiran dengan meletakkan makanan itu di atas tilam udara.
"Kami berenang sambil mengedarkan makanan, ada yang kami terpaksa panjat ikut bumbung," katanya sambil membersihkan perkarangan rumahnya yang dinaiki hingga paras siling tingkat bawah.
Bukan sahaja memasak untuk jiran, Mohd Saiful dan seorang lagi rakanya Mohd Syahrul Nizam Mohd Shafawi, 20 tahun turut membantu menyelamatkan seorang lelaki warga emas daripada lemas ketika mangsa sedang berusaha menyelamatkan isterinya.
"Uncle tu guna perabut kayu untuk apungkan diri, isterinya dalam tong air dalam air banjir yang melepasi para kepala.
"Kita orang tarik uncle (pakcik) tu dengan isteri dia ke pos kawalan polis, kita berenang sambil tarik," kata Muhd Saiful yang berkebolehan berenang dan anak kampung yang sejak dari usia muda sentiasa mandi sungai dan berdepan situasi banjir.
"Saya orang kampung, dari kecil dah mandi sungai dan rumah juga memang selalu banjir. Alhamdulillah, saya tak minta jiran-jiran ucap terima kasih pun. Saya cuma lega mereka dah keluar, rasa tanggunjawab dah kurang sebab tahu mereka dah selamat,” luah saiful sambil tersenyum mengenangkan detik bot bantuan pada malam keempat (21 Dis) mereka di situ. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram