SEORANG lelaki di Itali yang menerima bantuan kerajaan selama bertahun-tahun kerana buta, ditahan pihak berkuasa selepas didapati melakukan penipuan.
Lelaki dari Sicily, Itali itu menerima wang kebajikan sekurang-kurangnya 170,000 euro (RM812,495) sejak 2008 selepas mendakwa dia "buta sepenuhnya" akibat masalah kongenital.
Polis kewangan Itali diarahkan untuk memerhati lelaki tersebut setelah lelaki itu memperbaharui lesen memandunya pada 2018.
Berdasarkan siasatan polis, lelaki itu dilihat memandu sambil menggunakan telefon dan mengajar anak perempuannya menunggang basikal.
Lelaki berusia 40 tahun itu juga dilihat menunggang skuter tanpa insurans dan dia digelar sebagai “Berlusconi,” merujuk nama bekas Perdana Menteri Itali yang mempunyai sejarah masalah undang-undang.
Tahun lalu, dia dijatuhi hukuman penjara hampir 15 tahun kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan yang memalsukan kemalangan jalan raya mendapatkan pembayaran insurans.
Kes berkenaan masih dalam proses rayuan.
Hakim kes tersebut kemudiannya memerintahkan agar lelaki itu ditahan atas tuduhan melakukan penipuan lebih teruk untuk mendapatkan dana awam.
Pihak berkuasa turut merampas tiga kenderaan bermotor, tiga motosikal, sebuah garaj, dan basikal elektrik generasi terkini yang ditunggang tertuduh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram