
SEORANG wanita berusia 40 tahun kerugian RM648,800 selepas menjadi mangsa penipuan 'love scam'.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku pada awal Oktober lalu.
"Mangsa merupakan seorang pengurus kanan sebuah syarikat insurans telah berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi nombor telefon antarabangsa.
"Dalam tempoh perkenalan itu, suspek telah memberi pautan aplikasi pelaburan bitcoin dan meminta mangsa memuat turun aplikasi itu.
"Mangsa yang terpedaya dengan suspek turut memasukan wang sebanyak RM1,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek bertujuan untuk memindahkan wang ke dalam aplikasi tersebut," katanya.
Mohd Fakhrudin berkata, mangsa mula mempercayai suspek selepas memperoleh keuntungan sebanyak RM800.
Jelasnya, bermula daripada itu, mangsa yakin dengan kata-kata suspek dan telah melakukan 31 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun berbeza.
"Jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan berjumlah RM648,800 dan mangsa mula merasa curiga apabila kesemua wang pelaburannya tidak memperoleh keuntungan," katanya.
Ujarnya lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis individu di alam maya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram