'Ingatkan bom, rupanya beg kosong'


  • 112
  • Ahad, 28 Nov 2021

PIHAK polis menasihati orang awam supaya tidak panik apabila menemukan sebarang objek dalam keadaan yang meragukan. —The Star

ORANG ramai cemas apabila menyangka sebuah beg pakaian berisi bom, seperti yang ditinggalkan di tepi tong sampah berhampiran sebuah kedai basikal, di Jalan Telawi Bangsar, ibu negara pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor bagaimanapun berkata, hasil pemeriksaan dilaksanakan oleh Unit Pengesan Bom IPK Kuala Lumpur serta Unit K9 PDRM mendapati, tiada sebarang indikasi bom ditemui dalam beg tersebut.

"Polis menerima maklumat dari orang awam kira-kira jam 4.15 petang mengenai satu beg pakaian dalam keadaan sempurna di lokasi itu.

"Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan rakaman imej kaki suspek memakai seluar pendek dan separuh badan. Turut memaparkan suspek juga telah meletakkan sebuah beg bagasi di lokasi sebelum beredar," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Amihizam mengesahkan beg pakaian tersebut didapati kosong.

Beliau juga menasihati orang awam supaya tidak panik apabila menemukan sebarang objek dalam keadaan yang meragukan.

"Orang awam turut diminta agar terus menyalurkan maklumat yang diperolehi kepada pihak berkuasa.

"Saksi awam di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan individu yang mungkin terlibat dalam insiden tersebut diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bom, beg pakaian, Bangsar, PDRM