Lima pemain Man United bakal menyinar di bawah Rangnick


  • Podium
  • Isnin, 29 Nov 2021

SANCHO (kiri), van de Beek (tengah) dan Lingard antara pemain yang bakal diberi peluang beraksi di bawah kendalian Rangnick. — Agensi

MANCHESTER United memiliki ramai pemain bagus yang tidak diberi peluang bermain sepanjang era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer.

Pertukaran jurulatih adalah peluang baharu bagi mereka membina keyakinan untuk bangkit daripada prestasi buruk ketika ini.

Baru-baru ini, Man United mencapai persetujuan untuk melantik pengurus dari Jerman, Ralf Rangnick secara sementara. Ketibaan Rangnick boleh memberi kesan 'berantai' kepada beberapa pemain skuad The Red Devils yang lesu.

Berikut merupakan lima pemain Man United yang tidak laku di mata Solskjaer tetapi berkemungkinan bangkit di era Rangnick:

1. Jesse Lingard

Keputusan Solskjaer untuk tidak memberi peluang bermain kepada Lingard adalah sangat pelik. Pemain berusia 28 tahun itu cemerlang di West Ham United musim lalu.

Dia mendapatkan semula keyakinannya, bermain sepenuh tenaga, kreatif dan berkualiti. Situasi menjadi semakin aneh apabila Man United masih belum mencapai sebarang kata putus berhubung kontraknya yang memasuki tahun terakhir.

Situasi itu selalunya bererti pemain berkenaan bakal dijual tidak lama lagi.

Susulan pemecatan Solskjaer, penyokong Man United menantikan sikap Rangnick terhadap Lingard. Jika dia boleh mengikuti kehendak Rangnick, masa depan Lingard bersama Man United sangat cerah.

2. Alex Telles

Pada tahun lalu, Rangnick secara terbuka menyatakan beliau tidak merasakan Luke Shaw cukup bagus untuk Man United. Bek kiri itu meneruskan musim yang cemerlang dan berjaya mara ke final Euro 2020 bersama England.

Bagaimanapun, apabila pertukaran pengurus berlaku, berkemungkinan ada kedudukan pemain yang bakal berubah.

Sudah tentunya, Telles bersedia untuk menggantikan Shaw.

Pemain dari Brazil itu begitu sabar menunggu peluangnya beraksi sejak kedatangannya dari FC Porto tahun lalu. Kualiti umpanan Telles terbukti sangat berguna dalam beberapa perlawanan terakhir Man United.

Bench MU

KEBANYAKAN pemain MU gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika era Solskjaer. — Agensi

3. Diogo Dalot

Pemain seperti Aaron Wan-Bissaka bergelut di Man United musim ini. Bekas bintang Crystal Palace itu tidak memberi banyak variasi ketika menyerang. Dia juga kelihatan tidak yakin dengan dirinya secara defensif.

Masa depan Dalot hampir samar di Man United sejak kembali daripada tempoh pinjaman di AC Milan awal tahun ini. Tetapi, Rangnick mungkin hanya mahu memberinya peluang untuk menyinar. Jika dia dapat membuktikan sesuatu, masa depan Dalot di Old Trafford akan menjadi sangat cerah.

4. Donny van de Beek

Nampaknya ada cahaya di hujung terowong untuk van de Beek dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Dia menjaringkan gol dari bangku simpanan ketika menentang Watford hujung minggu lalu. Kemudian, dia berada dalam kesebelasan utama sewaktu bertemu Villarreal dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kini, kemasukan Rangnick boleh menjadi isyarat yang baik buat pemain Belanda itu dan sekiranya Erik ten Hag dilantik pada musim hadapan, dia boleh optimis kerana sistem kedua-dua pengurus itu serupa.

Rangnick MU

SIAPA bakal membarisi skuad pilihan Rangnick hanya akan diketahui pada minggu hadapan. — Agensi

5. Jadon Sancho

Sancho mempunyai permulaan yang buruk di Old Trafford. Solskjaer juga dilihat tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya, pemain sayap itu nampaknya hilang keyakinan.

Bagaimanapun, terima kasih kepada gol pertamanya untuk kelab menentang Villarreal dalam UCL, Sancho mempunyai detik yang membuktikan kemampuannya.

Selain itu, jika Sancho boleh membuktikan keupayaannya untuk bermain baik, sama sewaktu beraksi di Borussia Dortmund, itu satu petanda baik buat Man United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram