PROGRAM Makanan Sedunia (WFP) pada Ahad memberi amaran bahawa krisis kebuluran semakin meruncing di Yaman, ketika krisis perang dan kenaikan harga barang berlanjutan di negara itu.
"Tahap keperluan (asas) adalah tinggi dengan kebanyakan keluarga bergantung kepada bantuan makanan WFP untuk terus hidup," kata WFP dalam hantaran di laman Twitter.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut memberi amaran bahawa, krisis yang melanda negara itu memberi kesan buruk ke atas berjuta-juta keluarga.
Terdahulu, keadaan kemanusiaan di Yaman diburukkan lagi dengan kejatuhan mata wang Yaman yang mencecah lebih 1,500 riyal Yaman bagi dolar AS (RM1,674) di kawasan bawah kerajaan negara itu.
Sebelum tercetusnya konflik pada 2014, harga dolar adalah 215 riyal Yaman (RM239) dalam pasaran tempatan.
Yaman dilanda perang saudara sejak 2014 ketika pemberontak Houthi yang disokong Iran menguasai ibu kota Sanaa dan sebahagian besar bahagian utara negara itu, sekali gus memaksa kerajaan yang diakui secara antarabangsa melarikan diri ke selatan, kemudian ke Arab Saudi.
Gabungan yang dipimpin Arab Saudi memasuki perang di negara itu pada Mac 2015, dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), dalam usaha untuk mengembalikan kuasa kerajaan pimpinan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi dan memberikan sokongan kepada pemerintahnya.
Walaupun kempen dan pertempuran tanpa henti, perang di Yaman semakin melarat dan mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
AS kemudiannya menangguhkan pembabitan langsungnya dalam konflik tersebut.
Kira-kira 233,000 orang terbunuh dalam perang itu manakala hampir 80 peratus atau 30 juta penduduk memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan, dan lebih13 juta penduduk lagi dalam bahaya kebuluran, menurut anggaran PBB. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram