RIBUAN rakyat Tunisia mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara, Tunis pada Ahad bagi menentang rampasan kuasa oleh Presiden negara itu, Kais Saied.
Para penunjuk perasaan berkumpul di Jalan Hayreddin Pasha dan berarak menuju ke Habib Bourguiba Avenue, di tengah-tengah kawalan keselamatan yang tinggi.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk 'Perlembagaan, Kebebasan, Martabat Nasional' yang turut menyeru pembebasan aktivis dan wartawan yang ditahan oleh pihak berkuasa.
Jurucakap Citizens Against Coup, Jawhar Mubarak berkata, tunjuk perasaan dilakukan hanya bagi menentang kudeta dan bukannya rakyat.
"Kami mengajak rakyat bergabung dengan kami kerana kami tidak akan berpecah-belah," katanya.
Pada 25 Julai lalu, Saied bertindak menggulingkan pemerintah, menggantung Parlimen dan mengambil alih kekuasaan eksekutif.
Meskipun beliau menganggap bahawa langkah itu dilakukan demi menyelamatkan negara, pengkritik menuduhnya melakukan rampasan kuasa.
Sebilangan besar penduduk Tunisia menolak rampasan kuasa itu, namun ada yang berpendapat keputusan itu betul memandangkan krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang dihadapi negara di benua Afrika Utara itu.
Tunisia dilihat sebagai satu-satunya negara yang berjaya melakukan peralihan demokratik antara negara-negara Arab yang menyaksikan revolusi popular menjatuhkan pemerintah termasuk Mesir, Libya dan Yaman. — Agensi