Belalang dan kaktus jadi makanan, 10 juta penduduk dunia di ambang kebuluran


  • Benua
  • Isnin, 08 Nov 2021

BILANGAN penduduk kebuluran juga meningkat di negara di Afrika iaitu Ethiopia, Haiti, Somalia, Angola, Kenya dan Burundi. — Agensi

JUMLAH penduduk berada di ambang kebuluran meningkat di 43 negara dengan jumlah itu bertambah kepada 45 juta orang berikutan kelaparan akut meningkat di seluruh dunia, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia, David Beasley berkata, lonjakan daripada 42 juta orang yang dicatatkan awal tahun ini, dengan sebahagian besarnya disebabkan penilaian sekuriti makanan mendapati tiga juta orang lagi menghadapi kebuluran di Afghanistan.

Jelasnya, dianggarkan 10 juta orang berada di ambang kebuluran ekoran konflik kemanusiaan, krisis politik, perubahan iklim dan penularan Covid-19 membawa kepada pertambahan jumlah penduduk kebuluran.

"Data terkini menunjukkan kini terdapat lebih 45 juta orang sedang menuju ke ambang kebuluran," katanya selepas melawat Afghanistan.

Beasley berkata, peningkatan itu juga didorong faktor peningkatan kos bahan api, harga makanan melambung tinggi, kenaikan harga baja yang membawa kepada krisis baharu seperti sedang berlaku di Afghanistan serta keadaan darurat berpanjangan seperti Yaman dan Syria.

Menurut WFP, katanya, kos mengelakkan kebuluran seluruh dunia kini berjumlah AS$7 bilion berbanding AS$6.6 bilion pada awal tahun sambil pertubuhan itu memberikan amaran bahawa aliran dana tradisional melepasi batasannya.

"Akibat kebuluran serius, ada keluarga yang menghadapi masalah bekalan makanan, terpaksa memilih mengahwinkan anak mereka lebih awal, memberhentikan sekolah atau memberi makan belalang, daun atau kaktus.

"Malah ada laporan media tempatan Afghanistan mendakwa ada keluarga yang menjual anak mereka berikutan keadaan terdesak untuk terus hidup," katanya.

Beliau berkata, kejadian kemarau yang berterusan di Afghanistan serta kemelesetan ekonomi meletakkan banyak keluarga di negara itu di ambang kebuluran, sementara di Syria dianggarkan seramai 12.4 juta orang tiada apa untuk dimakan selepas melalui konflik selama berdekad-dekad.

Menurut agensi yang berpangkalan di Rom itu, bilangan penduduk kebuluran juga meningkat di negara di Afrika iaitu Ethiopia, Haiti, Somalia, Angola, Kenya dan Burundi. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kebuluran, PBB