Demi jadi pengurus Man United, Zidane belajar bahasa Inggeris


  • Podium
  • Jumaat, 19 Nov 2021

ZIDANE dikhabarkan sedang belajar bahasa Inggeris untuk melatih Man United. — AFP

PENGURUS yang dikaitkan dengan Manchester United, Zinedine Zidane dikhabarkan sedang belajar bahasa Inggeris sebagai persiapan melatih kelab tersebut.

Dakwaan itu didedahkan oleh bekas rakan senegaranya, Emmanuel Petit.

Zidane, 49, kekal sebagai salah satu calon pilihan untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Man United.

Namun Petit menegaskan langkah Zidane belajar bahasa Inggeris tidak semestinya beliau akan mengambil alih The Red Devils.

"Jika anda seorang pengurus bola sepak, anda perlu bercakap pelbagai bahasa.

"Saya tahu Zidane bercakap pelbagai bahasa tetapi saya yakin bahasa Inggeris bukan salah satu daripadanya.

"Terdapat banyak contoh membuat keputusan yang salah dalam bola sepak, tidak semestinya tentang membuat keputusan kurang tepat berhubung kemampuan seseorang tetapi tentang karakter yang betul dalam bilik persalinan apabila melibatkan pemain yang berlainan negara.

"Komunikasi adalah sangat penting, jadi sekiranya anda tidak bercakap bahasa Inggeris apabila tiba di kelab seperti Man United, itu adalah masalah yang besar," ujarnya.

Menurut Petit, beliau tidak percaya Zidane akan melatih Man United dan lebih berminat menguruskan pasukan kebangsaan Perancis.

"Sudah pasti, beliau merupakan nama besar di luar sana tetapi beliau tidak pernah bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), seperti saya katakan, saya tidak percaya tentang khabar angin tersebut.

"Saya amat yakin Didier Deschamps akan meninggalkan Perancis selepas Piala Dunia 2022 dan Zidane disebut-sebut bakal menggantikan beliau sejak beberapa tahun lalu," katanya lagi.

Selain Zidane, pengurus Leicester City, Brendan Rodgers turut dikaitkan untuk menjadi pengurus baharu bagi Man United. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Zidane, Petit, Man United, EPL, Perancis, Rodgers