Dua lelaki didakwa rogol gadis lepas berhibur kelab malam, sudah serah diri kepada polis


  • 112
  • Ahad, 21 Nov 2021

CIAPAN Twitter oleh salah seorang rakan mangsa yang mendedahkan perbuatan kedua-dua suspek itu. — Twitter

DUA lelaki tempatan yang didakwa merogol seorang wanita selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada malam Rabu lalu, tampil menyerah diri di Balai Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada Sabtu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 31 dan 38 tahun itu menyerah diri kira-kira jam 6 petang.

"JSJ kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Kamaruzaman, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa mengalami mabuk dipercayai diberi minuman mengandungi dadah.

"Mangsa serta rakannya kemudian dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota dan hanya menyedari dirinya dirogol selepas dimaklumkan oleh rakannya itu," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan dilakukan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol) dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian atau menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Pada Sabtu, polis sedang mengesan dua lelaki tempatan tersebut.

Satu ciapan Twitter dipercayai kawan baik mangsa yang tular mendakwa kedua-dua suspek terbabit sudah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita lain selepas memasukkan dadah dalam minuman tanpa disedari mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram