Bitcoin berisiko rosakkan anak muda


  • Benua
  • Khamis, 18 Nov 2021

HARI ini, lebih 100 juta warga India sudah mempunyai mata wang maya, menjadikan negara itu hanya di belakang Amerika Syarikat, Russia dan Nigeria dari segi penggunaannya. — Gambar Hiasan/Agensi

PERDANA Menteri India, Narendra Modi pada Khamis memberi amaran mengenai pelaburan bitcoin yang boleh merisikokan generasi muda dan bertegas bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengawal mata wang kripto itu.

Bercakap ketika forum keselamatan siber dalam talian, Modi menyatakan bahawa wang maya - yang popular di India dan wujud tanpa kawalan bank negara dan pusat - adalah satu domain yang perlu dikawal rapi.

"Jadikan mata wang kripto atau bitcoin sebagai contoh. Adalah penting untuk semua negara demokrasi untuk bekerjasama dalam hal ini dan memastikan ia tidak berakhir di tangan yang salah dan boleh merosakkan anak muda kita," katanya pada forum yang dihoskan oleh Institut Dasar Strategik Australia.

Pengkritik mata wang kripto mendakwa, pemindahan tidak terkawal yang kebanyakannya tanpa nama menjadikan ia alat yang sempurna bagi pengedar dadah, aktiviti penyeludupan manusia atau penggubahan wang haram.

Beberapa negara juga sudah mula menggubal undang-undang untuk memperkenalkan pengawasan ke atas mata wang kripto dan pertukaran di banyak bidang kuasa kini tertakluk kepada peraturan yang sama seperti penyedia perkhidmatan kewangan lain.

India sebelum ini mengharamkan urus niaga kripto pada 2018, namun mahkamah larangan berkenaan dibatalkan oleh mahkamah tinggi negara itu dua tahun kemudian.

Langkah itu membawa kepada ledakan dalam sektor itu apabila ramai warga muda di negara itu memberi perhatian kepada mata wang itu selepas iklan yang dilakukan oleh bintang Bollywood dan kriket.

Hari ini, lebih 100 juta warga India sudah mempunyai mata wang maya, menjadikan negara itu hanya di belakang Amerika Syarikat, Russia dan Nigeria dari segi penggunaannya, lapor portal pelaburan BrokerChooser bulan lalu.

Terdapat gesaan yang semakin meningkat terhadap kerajaan untuk mengeluarkan larangan lain tetapi kerajaan Modi dilihat enggan berbuat demikian sebaliknya mahukan undang-undang lebih ketat yang boleh diluluskan sebelum akhir tahun ini.

Ketua Bank Rizab India, Shaktikanta Das minggu lalu menyatakan, mata wang kripto adalah ancaman serius kepada sistem kewangan jika tidak dikawal dengan betul.

Pada masa yang sama, bank pusat juga sedang mengkaji untuk mengeluarkan mata wang digital rasminya sendiri. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram