PEGUAM Tony Buzbee di Houston, bandar terbesar di negeri selatan Amerika Syarikat, Texas pada Rabu memfailkan tuntutan mahkamah bagi pihak 125 anak guam yang menuntut ganti rugi lebih USD$750 juta (RM3,135.94 bilion) berikutan kejadian rempuhan di Festival Muzik Astroworld.
Festival itu menjejaskan kesihatan mental dan fizikal serta menyebabkan kematian 10 orang pengunjung.
Penyanyi Rap Travis Scott, syarikat Live Nation, Apple Music dan syarikat perubatan Paradocs adalah antara defendan, lapor agensi.
"Nilai wang tidak dapat menggantikan kehilangan, namun ganti rugi yang dituntut dalam kes ini bertujuan untuk membetulkan, membantu, atau menebus kemudaratan dan bencana yang dialami oleh plaintif, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu," menurut tuntutan itu.
"Kuantum yang dituntut termasuk ganti rugi punitif yang setimpal untuk menghukum dan dijadikan contoh kepada semua pihak yang terlibat dalam penstriman, promosi, penganjuran dan kegagalan pelaksanaan konsert, dan juga untuk menggalakkan mereka yang terlibat dalam aktiviti sedemikian supaya lebih menekankan langkah keselamatan pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Lapan mangsa disahkan meninggal dunia pada malam 5 November apabila rempuhan berlaku pada festival muzik yang tiketnya habis terjual dengan kira-kira 50,000 pengunjung.
Seorang pelajar kolej berusia 22 tahun meninggal dunia minggu lalu, diikuti seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun pada Ahad, menjadikan jumlah kematian kepada 10 orang.
Sehingga kini siasatan ke atas kejadian rempuhan itu masih berjalan.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram