Anak Muammar Gaddafi bakal bertanding Presiden Libya


  • Benua
  • Isnin, 15 Nov 2021

SAIF al-Islam Gaddafi (kanan) mendaftar di pejabat cawangan Suruhanjaya Pilihan Raya yang terletak di bandar Sabha. — Agensi

ANAK kedua bekas pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi, mendaftar sebagai calon untuk pilihan raya Presiden yang dijadualkan pada Disember 2021, lapor Sputnik memetik media Libya pada Ahad (14 November).

Saif al-Islam Gaddafi, 49, mendaftar di pejabat cawangan Suruhanjaya Pilihan Raya yang terletak di bandar Sabha, menurut video yang diterbitkan akhbar al-Marsad di Twitter.

Beliau pernah dipenjara pada 2011 selepas bapanya digulingkan sebelum dibebaskan pada 2017.

Pilihan raya presiden dan parlimen, kedua-duanya dijadual diadakan pada 24 Disember 2021, hasil daripada Forum Dialog Politik Libya yang diadakan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva Februari lalu.

Libya kini ditadbir oleh kerajaan perpaduan baharu, diketuai Abdul Hamid Dbeibeh dan Majlis Presiden baharu diterajui Mohamed Yunus al-Menfi, seperti ditetapkan PBB.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram