BERIKUTAN jumlah kes Covid-19 di Indonesia mula menunjukkan trend penurunan, sekolah di beberapa wilayah republik itu kembali dibuka selepas terpaksa ditutup sejak lebih setahun lalu.
Walaupun usaha pencegahan masih dilaksanakan, sebanyak 610 buah sekolah kembali dibuka selepas melepasi syarat ditetapkan Agensi Pendidikan Jakarta.
Pentadbir bandar raya itu sudah pun merancang pembukaan semula sekolah pada Jun lalu namun terpaksa ditunda ekoran berlaku gelombang jangkitan varian Delta.
“Kami berjaya melepasi gelombang kedua jangkitan Covid-19,” kata Naib Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria sambil berharap mampu membuka kesemua sekolah menjelang Januari 2022.
Mengikut data kerajaan negara itu, terdapat 5,341 buah sekolah di Jakarta.
“Saya berasa gementar. Tetapi saya gembira untuk kembali bertemu kawan-kawan,” kata seorang pelajar, Akila Malawa, 12.
“Saya harap pandemik di Indonesia akan berakhir, jadi saya boleh pergi ke sekolah dan jumpa kawan setiap hari,” kata rakan sekelas Akila, Amalwin Harjodisastra.
Beberapa sekolah di luar Jakarta juga turut dibuka dan ketetapan kerajaan merubah situasi dalam kelas berbading tradisi sebelum ini.
Berbual dalam kelas adalah dilarang, sentiasa memakai pelitup muka dan tiada seorang pun pelajar dibenarkan keluar rehat.
Sekolah juga perlu mengurangkan 50 peratus kapasiti kelas dan setiap guru juga haruslah sudah divaksin.
Indonesia yang juga negara keempat paling padat di dunia merekodkan lebih empat juta jangkitan sejak penularan pandemik.
Bulan lalu, Indonesia memulakan program vaksinasi kepada individu berusia 12 hingga 18 tahun.
Negara itu juga mensasarkan untuk menyempurnakan suntikan kepada 208 juta daripada 270 juta rakyatnya pada Mac 2022. – Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram