GOLONGAN trypanophobia atau takut jarum tidak perlu bimbang lagi untuk menerima vaksinasi Covid-19 selepas sekumpulan penyelidik di Sweden membangunkan vaksin berasaskan pil atau alat penyedut.
Menurut seorang pakar kimia, Ingemo Andersson, dia dan pasukannya berharap usaha itu akan memainkan peranan besar dalam melawan wabak terbabit di peringkat global.
"Ia sangat murah dan senang untuk dihasilkan. Anda hanya mencabut sedikit slip plastik dan kemudian alat penyedut vaksin diaktifkan dan anda hanya memasukkannya ke dalam mulut, tarik nafas panjang dan sedut," kata Andersson.
Andersson dan pasukannya bekerjasama dengan syarikat penyelidikan imunologi di Stockholm iaitu ISR yang membangunkan vaksin Covid-19 berasaskan serbuk.
Selain itu, jelas pengasas ISR, Ola Winquist, vaksin berasaskan pil atau serbuk tidak perlu disimpan dalam suhu tertentu seperti vaksin sedia ada sekarang.
"Perkara paling menarik adalah anda boleh mengedarkan vaksin itu dengan senang tanpa perlu disimpan dalam suhu sejuk serta boleh diberikan tanpa memerlukan penyedia penjagaan kesihatan," ujar beliau.
ISR ketika ini sedang menguji vaksinnya terhadap varian Beta (Afrika Selatan) dan Alpha (United Kingdom).
Syarikat berkenaan turut percaya vaksin seperti itu akan membantu mempercepatkan bekalan vaksin di benua Afrika yang tidak mempunyai pengeluar vaksin tempatan serta berdepan masalah untuk menyimpan dan mengedarkan vaksin Covid-19 kerana akses bekalan elektrik yang terhad.
Walau bagaimanapun, vaksin tersebut perlu menjalani beberapa ujian klinikal bagi mengetahui tahap keberkesanannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram