Kenal pasti penjawat awam tidak daftar vaksin - Cuepacs


  • Primer
  • Isnin, 30 Ogos 2021

Cuepacs gesa semua ketua jabatan kenal pasti penjawat awam yang belum mendaftar dan menerima suntikan vaksin. — Bernama

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) meminta ketua jabatan supaya mengenal pasti petugas yang belum mendaftar atau belum menerima suntikan vaksin.

Ketika ini 2.2 peratus penjawat awam masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 tetapi masih terlalu awal untuk membuat rumusan bahawa golongan itu menolak vaksinasi.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, langkah itu membolehkan maklum balas diterima dan dapat mengetahui punca sebenar petugas yang belum mendaftar.

Tambahnya, setiap ketua jabatan wajar mengadakan pertemuan dengan petugas bagi mengenalpasti dan mencari penyelesaian yang mungkin sedang dihadapi petugas terbabit.

"Terdapat kemungkinan penjawat awam ini belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung atau pun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa sama, Adnan juga berharap pihak kerajaan dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada 30,000 penjawat awam yang belum lagi mendapat tarikh temu janji.

Malah, Cuepacs juga melihat pelaksaan Pusat Pemberian Vaksi (PPV) bergerak dapat ditempatkan di premis atau pun jabatan kerajaan sekali gus mampu menyelesaikan proses suntikan 30,000 penjawat awam yang belum disuntik.

"Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap dan proses ini boleh berjalan dengan lancar sekiranya proses vaksinasi dilakukan di premis kerajaan dan turut mengelakkan kesesakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan juga menasihatkan setiap penjawat awam supaya lebih bertanggungjawab dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengelak risiko jangkitan dikalangan rakan sekerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin, adnan mat, covid-19