[VIDEO] Didakwa cederakan isteri dan keluarga, penjawat awam di Gopeng buat laporan polis lepas anak sebar video


  • 112
  • Khamis, 28 Mac 2024

Tangkap layar seorang penjawat awam di Perak didakwa bertindak melampaui batas dengan mengasari anak dan isterinya sehingga menyebabkan terdapat daripada ahli keluarganya mengalami masalah mental.

POLIS mengesahkan menerima dua laporan berhubung seorang penjawat awam di Gopeng, Perak didakwa bertindak melampaui batas dengan mengasari anak dan isterinya sehingga menyebabkan terdapat daripada ahli keluarganya mengalami masalah mental.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, pihaknya merujuk insiden pertengkaran mulut sebuah keluarga yang tular di media sosial kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut.

Katanya, laporan pertama dibuat oleh lelaki berumur 53 tahun yang tidak berpuas hati dengan tindakan anak perempuannya sendiri menyebarkan video pertengkaran mulut antara dia dan isteri yang dianggap boleh menjejaskan maruah serta kerjayanya.

Beliau berkata, laporan polis kedua pula diterima daripada isterinya yang berumur 53 tahun kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit yang menuduh dengan pelbagai tuduhan semasa pertengkaran itu.

Md Noor Aehawan berkata, polis sudah memanggil serta menasihatkan anak dan isteri lelaki itu agar memadam video bagi menjaga nama baik keluarga.

"Kes dirujuk ke agensi lain iaitu SKMM bagi tindakan lanjut. Bagi laporan dibuat isteri lelaki itu, tujuannya untuk rujukan mahkamah kerana dia dan suami dalam proses perceraian.

"Polis sentiasa bersedia membantu dan menjaga keharmonian masyarakat dalam apa jua situasi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Penjawat awam didakwa cederakan isteri dan keluarga, anak perempuan mohon simpati di media sosial

BACA LAGI: [VIDEO] Polis digesa siasat lelaki mamak junjung al-Quran bela diri lepas dakwa orang Melayu pemalas

Terdahulu, Majoriti melaporkan, seorang lelaki yang bertugas sebagai seorang guru besar di Perak didakwa bertindak melampaui batas dengan mengasari anak dan isterinya sehingga menyebabkan terdapat daripada ahli keluarganya mengalami masalah mental.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh anak perempuannya di laman X, a_safiah menerusi satu rantaian hantaran pada Rabu.

Menerusi ciapan tersebut, wanita itu mendakwa bahawa keluarganya sudah menderita agak lama dengan sikap tidak bertanggungjawab ayahnya itu yang juga bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Gopeng.

Ujarnya, selain didakwa pernah memukul anak dan isterinya, lelaki itu juga didakwa turut menyebabkan penderaan fizikal dan mental terhadap mereka.

Tidak cukup dengan itu, menurut a_safiah, ayahnya juga pernah memberikan gelaran yang cukup kesat terhadap dia dan ibunya.

Ciapan tersebut yang sudah mendapat lebih 190,000 jumlah tontonan dan lebih 1,800 hantaran semula selepas beberapa jam dimuat naik bagaimanapun sudah dipadamkan.

Wanita itu juga dilihat sudah mengehadkan akses terhadap akaunnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram