KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus sebelum ini pernah menyatakan pasukan tersebut akan terus diperkuatkan dengan wajah baharu pada jendela perpindahan akan datang.
Ini kerana meskipun skuad Jang berada dalam prestasi memberangsangkan, mereka kelihatan tempang setiap kali pemain utama terpaksa disisihkan.
Masalah tersebut menjejaskan hasrat pasukan untuk berada di posisi lebih baik dengan skuad kendalian Nidzam Jamil itu kini berada di tangga keenam Liga Super.
BACA LAGI: 'Saya percaya anda', CEO NSFC terharu betapa komitednya Sasaki, sanggup beraksi ketika patah jari
BACA LAGI: Selain 5 pemain lokal, CEO NSFC sanggup terbang ke Jepun cari kawan untuk Sasaki

Sasaki (kiri) berkongsi pertemuannya bersama Mita di KL baru-baru ini.
Jadi, dengan terdapat kira-kira sebulan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka, pelbagai perancangan akan dilakukan pihak pengurusan demi memperkuatkan pasukan.
Melihat kepada pendekatan diterapkan Negeri Sembilan FC musim ini, mereka dijangka membawa masuk import dari Jepun selepas dua pemain dari negara sana, Mio Tsuneyasu dan Takumi Sasaki beraksi cemerlang.
Selain mempunyai tahap kecergasan yang jauh lebih baik, kualiti dibawa menjadi pemisah yang meletakkan skuad Jang jauh lebih baik berbanding kempen terdahulu.
Ini sekali gus membuka kemungkinan skuad Jang akan membawa masuk seorang lagi import dari negara Asia Timur tersebut untuk mengharungi separuh kedua musim 2025/26.

Mita kini beraksi buat Nakhonratchasima Mazda FC di Thailand.
Malah, baru-baru ini, Sasaki turut kelihatan mengalu-alukan kehadiran pemain tengah Jepun, Hirotaka Mita yang kini beraksi di Thailand bersama Nakhonratchasima Mazda FC.
Pertemuan itu dikongsikan menerusi Instastory berserta kapsyen ringkas 'Selamat datang ke Malaysia' dengan mereka mengambil foto sekitar Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur (KL).
Meskipun hanya bertemu sebentar, kehadiran Mita ke tanah air membuka kemungkinan pemain berkenaan akan menyertai skuad Jang pada jendela perpindahan kedua.

Agyarkwa dilaporkan akan kembali ke pangkuan Selangor FC pada masa terdekat. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Kemasukannya juga merupakan berita baik buat pasukan terbabit yang dijangka kehilangan khidmat pemain tengah, Alex Agyarkwa kerana mungkin dipanggil kembali kelab asalnya, Selangor FC dalam masa terdekat.
Perbezaan dari segi profil permainan tidak akan menjejaskan peluangnya menyertai skuad Jang kerana Nidzam cukup mahir dalam mengenal pasti kelebihan anak-anak buahnya.
Sebelum beraksi di Thailand, Mita yang kini berusia 35 tahun menghabiskan majoriti daripada kariernya di negara sendiri dengan beberapa kelab pernah diwakilinya seperti Vissel Kobe.
Dia juga pernah menimba pengalaman dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bersama FC Tokyo bagi musim 2019/20 yang akan membawa nilai cukup besar buat Negeri Sembilan FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
