[VIDEO] Hakim Danish nikmati 'survive' di Sepanyol, gembira 'mat saleh' sambut kejayaan sekali


  • Podium
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Hakim Danish mula tinggal sendirian di negara Eropah itu sejak awal tahun ini.

 

 

PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli meluahkan rasa syukur dan kegembiraan apabila mampu menyesuaikan diri serta 'survive' hidup secara berdikari di Sepanyol sejak awal tahun ini dalam usaha mengejar impian di arena perlumbaan.

Menurut Hakim Danish yang kini berusia 18 tahun, dia sudah mula tinggal sendirian di negara Eropah itu sejak awal tahun bagi menjalani latihan intensif dan menyertai perlumbaan di pentas antarabangsa.

Walaupun mengakui berdepan cabaran terutama pada peringkat awal, pelumba kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu berkenaan tetap berpegang pada tekad untuk terus belajar dan memperbaiki diri setiap hari.

BACA LAGI: Legenda MotoGP negara harap Hakim Danish beraksi GP Malaysia guna ‘wild card’

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Terengganu tunai janji pastikan lagu Negaraku bergema di Sepanyol

"Sejak daripada awal tahun lagi saya dah duduk di Sepanyol, memang seorang diri. Bagi saya duduk sorang ni agak mencabar sebab banyak benda kena buat sendiri. Tapi saya happy, setiap hari saya belajar benda baru dan improve diri saya.

"Semestinya pada awal-awal itu saya agak struggle sedikit. Memang saya rasa susah tapi so far setiap hari saya semakin okey di sana. Saya perlu kena adapt untuk berdikari kerana pasukan dah hantar saya, bagi peluang saya untuk race di Europe.

"Selalu saya memang rindu parents dengan suasana dekat Malaysia lah. Memang dua tu. Tidak dinafikan saya rasa macam sedikit mencabar tapi setiap hari saya dah macam biasa dah," katanya kepada Majoriti.

Hakim Danish yang kini aktif dalam siri perlumbaan Eropah turut berkongsi bagaimana dia mula membiasakan diri dengan budaya hidup di Eropah termasuk dari segi makanan dan gaya latihan yang lebih sistematik.

Mengulas mengenai kehidupan harian, Hakim Danish menjelaskan rutin hariannya dipenuhi dengan sesi latihan dan rehat, waktu lapang pula diisi dengan aktiviti santai di kawasan sekitar kediaman.

Hakim Danish ketika ditemui pada sesi media RSB di Putrajaya pada Khamis.

"Makanan di sini memang berbeza, lebih kepada makanan sihat dan itu sebenarnya bagus untuk tahap kecergasan dan prestasi saya atas motor. Biasanya makanan disediakan, saya cuma perlu panaskan sahaja.

"Memang tak rasa rugi apa-apa (korbankan masa remaja). Dari umur 12, 13 tahun lagi saya dah mula korbankan masa dan ikut team ke Eropah. Sekarang ini, saya dah biasa hidup tanpa parents," katanya, yang tetap berhubung dengan keluarga melalui panggilan video.

Berkongsi lanjut, Hakim Danish memberitahu bahawa dia kini tinggal bersama dua lagi rakan serumah dari Sepanyol dan Belgium, yang juga merupakan pelumba tetapi daripada pasukan berbeza.

Hubungan mereka yang rapat memudahkan sesi perbincangan dan pertukaran ilmu berkaitan sukan pemotoran, ia sekali gus menjadi alternatif baik untuk Hakim Danish memperbaiki latihan serta meluaskan ilmunya.

 

 

 

 

"Saya ada dua team housemate. Mereka kawan latihan saya. Seorang dari Sepanyol dan satu lagi dari Belgium. Selain mereka, banyak lagi lah kawan-kawan saya negara yang berbeza seperti Portugal, Argentina dan banyak lagi lah.

"Duduk dengan mereka, saya belajar sebab saya banyak kenal rider dan juga saya boleh ambil sedikit ilmu daripada mereka. Saya boleh belajar daripada situ lah, boleh improve saya punya diri.

"Salah seorang daripada mereka race di Moto3 world championship. Dan juga seorang lagi race di British. Memang cakap pasal racing saja lah dan pasal training, pasal makanan dan semuanya lah," kongsinya.

Apa yang lebih membanggakan, kejayaan pelumba negara berkenaan turut diraikan oleh rakan-rakan dan komuniti sukan permotoran di sana tanpa mengira latar belakang atau warganegara.

Hakim Danish bersama ibu bapanya.

"Saya memang happy cara mereka celebrate itu, sama macam di Malaysia. Tak pernah rasa disisihkan. Bila lagu Negaraku berkumandang di negara asing, saya rasa sangat-sangat gembira dan terharu," kata Hakim Danish dengan penuh emosi.

Untuk info, Hakim Danish ketika ini mendahului carta keseluruhan Piala Red Bull Rookies dengan 154 mata, mengatasi pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriarte (141 mata) dan Veda Pratama dari Indonesia (130 mata).

Manakala kedudukan Hakim Danish berada di kedudukan ketujuh Junior GP.

Empat baki perlumbaan yang akan berlangsung di Austria dan Misano, Itali bakal menjadi penentu sama ada Hakim Danish mampu melakar sejarah muncul pelumba Malaysia pertama menjulang gelaran Piala Red Bull Rookies dan seterusnya menempah tiket ke pentas Moto3 musim 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram