Sambutan Aidilfitri rahmat buat bek Selangor, anggap waktu rehat penyuntik semangat


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Skuad Gergasi Merah mahu mencatatkan kemenangan dalam dua aksi berbaki. — Facebook/Selangor FC

KEKALAHAN kepada Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak 16 Mac lalu pada dasarnya tidak memberi sebarang impak buat Selangor FC yang sudah mengesahkan kedudukan sebagai naib juara Liga Super 2024/25.

Bagaimanapun, keputusan di tempat lawan itu masih sukar diterima kerana ia menceritakan mentaliti skuad Gergasi Merah yang mudah berasa puas atas pencapaian kecil.

Jadi, untuk membuktikan mereka bersungguh-sungguh memasuki penutup musim, skuad Gergasi Merah perlu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan akan datang berdepan Terengganu FC.

BACA LAGI: Teruja Abualnadi ke Selangor, bakal pemain warisan tertarik sarung jersi Merah Kuning?

BACA LAGI: [VIDEO] Baru masuk Selangor, ramai mula samakan Abualnadi dengan bekas bek Lubnan

Abualnadi (kanan) mahu menutup saingan Liga Super 2024/25 dengan kenangan manis. — Facebook/Selangor FC

Perlawanan itu akan menjanjikan cabaran hebat buat Selangor FC meskipun beraksi di tuan rumah kerana pihak lawan turut memburu tiga mata penuh untuk mendaki carta Liga Super.

Oleh itu, anak-anak Katsuhito Kinoshi pasti akan hadir dalam keadaan terbaik pada hari perlawanan dengan bek import, Mohamed Abualnadi faham bakal dibawa skuad Sang Penyu.

"Kita dapat berehat selama beberapa hari untuk sambutan perayaan. Ia merupakan waktu rehat yang baik dari segi mental. Kami kini sedang berada dalam tahap mentaliti terbaik.

"Kami akan memberi tumpuan penuh terhadap diri sendiri, ini merupakan perlawanan sukar bagi kami. Tetapi, susah atau tidak, Selangor FC perlu fikir apa yang perlu dilakukan di atas padang," katanya.

Pemain berusia 24 tahun tersebut turut menegaskan status naib juara dan kejayaan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan bukanlah alasan bagi mereka mengambil lewa baki perlawanan.

Kinoshi berpuas hati dengan keadaan anak-anak buahnya yang baru pulang dari musim perayaan. — Facebook/Selangor FC

Selepas menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu, skuad Gergasi Merah akan menutup tirai Liga Super 2024/25 dengan aksi menentang PDRM FC pada pertengahan April.

Dalam pada itu, Kinoshi menjelaskan pemainnya berada dalam keadaan optimum meskipun baru sahaja kembali dari sambutan perayaan yang pasti tidak menjejaskan kecergasan masing-masing.

"Mereka semua tahu bagaimana untuk mengawal diri sendiri semasa Ramadan. Semua pemain berpuasa, tetapi keadaan masing-masing tiada perubahan dengan berat semua terkawal.

"Sebagai seorang yang profesional, mereka berjaya mengawal keadaan. Saya mahu menjanjikan persembahan terbaik, tetapi bola itu bulat. Sebarang kesilapan akan memberi kesan, sama ada anda pasukan hebat atau sebaliknya," katanya lagi.

Dalam pertembungan dengan Terengganu FC sebelum ini, Selangor FC meraih kemenangan 4-1 iaitu dalam pertemuan separuh akhir Piala FA yang pasti mahu diulangi pasukan Lembah Klang itu. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram