Kami turun tanpa tekanan tapi akan beri 100 peratus — Akhyar Rashid


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Sentuhan dan impak dibawa Akhyar sepanjang musim diharapkan dapat disaksikan pada Sabtu. — Facebook/Terengganu FC

TIGA mata penuh menjadi sasaran Terengganu FC ketika mereka bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu untuk berdepan skuad Gergasi Merah bagi menghidupkan peluang menduduki tangga ketiga Liga Super.

Pertembungan itu menjanjikan debaran kerana kedua-dua kelab tersebut memiliki sejarah pertemuan cukup hebat seperti mana sudah disaksikan tiga kali musim ini.

Dalam aksi di gelanggang tersebut pada Ogos lalu, Selangor FC meraih kemenangan 4-1 yang menyaksikan mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

BACA LAGI: Tak tinggal raya solo, Akhyar Rashid bawa balik bintang import balik Kedah

BACA LAGI: Ikut jejak Akhyar Rashid, khabarnya Haziq Nadzli tinggalkan JDT lebih awal

Skuad Sang Penyu berputih mata ketika kali terakhir bertandang ke Stadium MBPJ. — Facebook/Terengganu FC

Jadi, ia membuktikan ujian besar menanti skuad Sang Penyu yang perlu membawa pulang tiga mata untuk merapatkan jurang dengan Kuching City FC dan Sabah FC dalam perebutan tangga ketiga.

Bagaimanapun, bagi tonggak Terengganu FC, Akhyar Rashid, tekanan dihadapi pasukan Pantai Timur tersebut tidaklah begitu hebat sambil menegaskan persembahan terbaik akan ditampilkan.

"Apa yang boleh saya katakan, kami bermain tanpa tekanan, kami hanya mahu menikmati perlawanan. Ia adat permaianan, kalah atau menang kami terima. 

"Apa yang penting, kami akan memberikan 100 peratus untuk mendapatkan slot ke Piala Shopee. Insya-Allah kami akan buktikan yang terbaik untuk menang," katanya.

Perebutan tiga penjuru disaksikan bagi memburu tangga ketiga Liga Super. — Facebook/MFL

Kehadiran bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu diharapkan mampu membawa impak positif buat skuad Sang Penyu selepas dia mencatatkan 10 gol dan enam bantuan jaringan secara keseluruhan.

Tidak terhenti di situ, sumbangan pemain kelahiran Kedah tersebut turut disaksikan apabila dia berjaya mengekalkan persefahaman baik bersama kapten pasukan, Safawi Rasid.

Kemenangan ke atas Selangor FC bakal menyaksikan Terengganu FC mengecilkan jurang kepada hanya satu mata dengan Kuching City FC dan Sabah FC yang mahu meraih slot ke Piala Shopee musim depan.

Peluang masih dimiliki skuad Sang Penyu kerana mereka masih berbaki tiga perlawanan, termasuk aksi berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri bagi aksi penutup Liga Super 2024/25. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram