
REVOLUSI Harimau Malaya di bawah pantauan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menepati janji mereka untuk memperkenalkan pemain warisan baharu minggu ini dengan dua daripadanya sudah tiba di sesi latihan skuad kebangsaan.
Hari ketiga sesi latihan Harimau Malaya di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, Johor pada Rabu dimeriahkan dengan kehadiran dua pemain warisan skuad kebangsaan iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Menerusi video dimuat naik Instagram rasmi skuad kebangsaan iaitu Malaysia NT menunjukkan dua pemain berkenaan sedang melakukan latihan ringan sambil dipantau oleh jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23), Nafuzi Zain.
BACA LAGI: 'Mereka rakyat Malaysia', Cklamovski sahkan bek kiri Las Palmas dan Hevel bakal sertai HM
Bagaimanapun, sehingga kini masih tidak dapat dipastikan samada kedua pemain berdarah Sepanyol itu bakal terlibat dalam aksi pembuka tirai Kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Sekiranya dua pemain itu dimasukkan, penyokong bola sepak tanah air akan menyaksikan dua lagi tonggak dalam senarai 27 pemain akan digugurkan untuk memberi peluang kepada mereka.
Namun, idea tersebut dilihat tidak boleh diguna pakai lagi-lagi perlawanan menentang Nepal akan berlangsung kurang daripada seminggu lagi. Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga sebab duo warisan baharu itu perlu dielakkan daripada disenaraikan pada aksi nanti;
1) Belum menyesuaikan diri
Satu perkara yang sukar ketika menjadi orang baharu ialah menyesuaikan diri. Perkara berkenaan juga berlaku kepada pemain bola sepak lagi-lagi jika mereka baru tiba di persekitaran baharu.
Melihat kepada kehadiran dua pemain itu yang baru tiba pada hari ketiga, mereka hanya mempunyai lima hari sehingga sepak mula untuk mengenali rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Lima hari ini lebih dilihat sebagai 'sesi orientasi' untuk Hevel dan Palmero dengan masa singkat tersebut akan digunakan untuk mereka memahami bola sepak Malaysia, sekali gus menerapkan semangat nasionalisme dalam diri mereka.
Dua pemain warisan itu perlu membiasakan diri dengan rakan sepasukan serta memahami komunikasi dan kefahaman taktikal yang berlaku atas padang. Tanpa persediaan yang cukup, risiko untuk mereka membuat kesilapan dalam aksi sebenar adalah tinggi.
3) Tidak tahu sejauh mana kebolehan
Hevel beraksi sebagai pemain tengah. — Facebook/MalaysiaNT
Selain itu, identiti Hevel dan Palmero juga belum sepenuhnya diketahui oleh barisan kejurulatihan dan pastinya mereka memerlukan satu tempoh untuk menilai sejauh mana kebolehan dua warisan baharu berkenaan.
Profil awal yang diketahui, Hevel mampu beraksi sebagai pemain tengah atau tengah menyerang jika diperlukan. Dia juga merupakan graduan akademi Den Haag dan pernah beraksi untuk AEK Larnaca, FC Cartagena dan FC Andorra.
Manakala, Palmero yang beraksi sebagai pertahanan kiri pula beraksi secara pinjaman bersama CD Tenerife B dari kelab Las Palmas. Selain Tenerife B, pemain berusia 23 tahun itu juga pernah beraksi untuk Gimnastica Segoviana.
Pengalaman beraksi di luar negara itu bagaimanapun tidak boleh mengukur kemahiran mereka, disebabkan itu Hector dan Palmero memerlukan sedikit masa lagi untuk membuktikannya pada sesi latihan atau aksi persahabatan.
3) Kekurangan aksi terkini
Palmero ketika sesi latihan Harimau Malaya. — Facebook/MalaysiaNT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengambil pendekatan berani apabila tidak mengatur sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang tempoh kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Sebaliknya, barisan pemain Harimau Malaya hanya berlatih sesama sendiri sebelum menghadapi Nepal pada Selasa depan. Walaupun Nepal boleh dianggap bukan pasukan berbahaya namun ia tetap membimbangkan penyokong tanah air.
Ketiadaan aksi pemanas badan itu juga menyebabkan dua pemain warisan berkenaan mengambil sedikit masa untuk mencari keserasian dalam pasukan walaupun mereka memiliki potensi dan pengalaman dalam perlawanan dengan kelab.
Kekurangan perlawanan bersama Harimau Malaya boleh mendatangkan kesilapan taktikal dalam perlawanan sebenar, yang berpotensi merugikan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram