Inisiatif KESUMA melalui MiSI buka peluang kerjaya kepada belia dalam industri golf


  • Podium
  • Sabtu, 01 Mac 2025

KESUMA, melalui inisiatif MiSI membantu peserta menerima latihan kemahiran dan pastinya jaminan pekerjaan selepas tamat latihan.

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA), melalui inisiatif Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI), telah menganjurkan majlis graduasi bagi kumpulan kedua peserta di bawah Skim Latihan Kemahiran dengan Jaminan Pekerjaan di Palm Resort Golf & Country Club, Senai, Johor, baru-baru ini.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada belia India untuk menceburi industri golf yang semakin berkembang di Malaysia serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.

Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan AMS Caddy Academy. Melalui MiSI, peserta bukan sahaja menerima latihan kemahiran, tetapi juga jaminan pekerjaan selepas tamat latihan.

BACA LAGI: Tawar hadiah cecah RM300,000, Ladies Championship jadi turnamen baharu PGM

BACA LAGI: Program Junior Golf Summer Camp dapat tunjuk ajar istimewa bintang golf kebangsaan

Selain itu, mereka turut menikmati manfaat seperti perlindungan insurans, pelan perkembangan kerjaya yang tersusun, serta gaji yang lebih tinggi daripada paras gaji minimum negara.

Ahli Parlimen Kulai merangkap Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang hadir sebagai tetamu kehormat, menyatakan sokongan terhadap program ini dan menekankan kepentingan tenaga kerja tempatan dalam industri golf.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat permintaan untuk 4,000 caddy di seluruh Malaysia, tetapi hanya 2,000 yang tersedia.

“Sebilangan besar jawatan ini diisi oleh pekerja asing, sedangkan ia sebenarnya dikhaskan untuk rakyat tempatan. Saya menyeru rakyat Malaysia untuk merebut peluang ini dan membina kerjaya sebagai caddy profesional,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Sabtu. 

Nie Ching (dua dari kiri) ketika majlis graduasi bagi kumpulan kedua peserta di bawah Skim Latihan Kemahiran dengan Jaminan Pekerjaan.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) KESUMA, Diccam Lourdes, turut menegaskan kepentingan program ini dalam membangunkan tenaga kerja tempatan.

“Inisiatif ini bukan sekadar memberi kemahiran, tetapi juga menjamin kestabilan pekerjaan dalam jangka panjang. Dengan memberi tumpuan kepada sektor penting seperti golf, kita membuka laluan kepada kemajuan ekonomi, khususnya bagi komuniti India, serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Sekitar majlis graduasi yang dianjurkan MGA dan AMS Caddy Academy.

Dalam usaha memastikan kejayaan program ini, AMS Caddy Academy memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan berkualiti. Pengarah Urusannya, Low Hock Lai, menyasarkan untuk melatih serta menempatkan 2,300 caddy menjelang tahun 2029, sekali gus menetapkan standard baharu dalam industri caddy di Malaysia.

Dengan sokongan KESUMA dan kerjasama industri, inisiatif MiSI terus membuka peluang pekerjaan mampan, memastikan pekerja tempatan menerima manfaat setimpal, serta memperkukuh industri golf negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram