Kena bersaing dengan Man City, The Red Devils sanggup bayar RM282.3 juta buat bintang Serie A


  • Podium
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Manchester United sanggup membuat pelaburan besar untuk membawa masuk pemain bagi memperkukuhkan bahagian tengah. — Agensi

KEMASUKAN pemain tengah, Manuel Ugarte ke dalam skuad The Red Devils masih tidak membawa kestabilan buat pasukan kerana mereka masih mudah dibolosi dalam hampir kesemua perlawanan setakat ini.

Oleh itu, barisan kejurulatihan Manchester United difahamkan akan memperkuatkan bahagian tersebut pada jendela perpindahan akan datang meskipun terpaksa membuat pelaburan besar sekali lagi.

Bagaimanapun, pihak pengurusan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu seperti menyedari hal berkenaan kerana baru-baru ini, mereka difahamkan sedang cuba membawa masuk pemain tengah Brazil, Ederson dari Atalanta.

BACA LAGI: Ruben Amorim emosi lihat 'interview' Rashford

BACA LAGI: Bagai melukut di tepi gantang, Amorim terus peram Rashford

Ederson-Atalanta-Europa-League-trophy-770x513

Ederson merupakan nadi Atalanta sejak menyertai pasukan itu pada 2022. — Agensi

Sejak menyertai kelab Itali terbabit pada 2022, dia sudah mengukuhkan reputasi sebagai antara yang terbaik di posisi berkenaan dengan pelbagai peranan boleh dipikul.

Ini termasuk tugasan mematahkan serangan lawan selain merencanakan pergerakan pasukan dengan kehadirannya cukup penting buat kelab terbabit yang kini berada di persada liga.

Malah, sepanjang musim lalu, pemain berusia 25 tahun terbabit menjadi nadi skuad Gli Orobici yang menjulang Liga Europa UEFA (UEL) buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Jadi, kecemerlangannya itu membuatkan pasukan sekitar Eropah tertarik untuk mendapatkan khidmatnya dengan Manchester United menjadi destinasi paling hangat buat Ederson dengan laporan mengatakan mereka bersedia membuat tawaran £50 juta (RM282.3 juta).

ea77eb90-7010-11ef-8ed2-0935433bea25

Kehilangan Rodri memberi tamparan hebat terhadap Manchester City. — Agensi

Tetapi, usaha The Red Devils tersebut sukar untuk direalisasikan kerana mereka berdepan cabaran daripada Manchester City yang juga dilaporkan mahu mendapatkan khidmatnya.

Kemasukan Ederson boleh mengurangkan kebergantungan pengurus pasukan, Pep Guardiola terhadap Rodri yang mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pasukannya terlalu goyah.

Pelaburan besar juga bukanlah sesuatu yang sukar buat juara bertahan EPL itu memandangkan berdasarkan musim-musim sebelum ini, mereka tidak berfikir panjang untuk membawa masuk pemain baharu meskipun perlu menanggung kos tinggi.

Namun, setakat ini, tiada laporan kukuh mengatakan skuad The Citizen akan diperkuatkan pemain Atalanta itu meskipun posisi itu perlu diperkuatkan pada jendela perpindahan terdekat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram