SEORANG ahli bina badan mendapat liputan meluas dalam media sosial selepas kemampuannya untuk menunjukkan bahagian belakang badannya dengan membesarkannya seperti karakter Hulk dalam satu pertandingan bina badan baru-baru ini menarik perhatian ramai.
Individu itu ialah Jake Leonard atau lebih dikenali sebagai 'Latman' oleh pengikut-pengikutnya di media sosial.
Aksi Jake ketika pertama kali menayangkan badannya itu mengejutkan orang ramai selepas dia mampu membesarkan bahagian sayap belakang badannya dengan bersahaja.
BACA LAGI: [VIDEO] Fans Selangor kurang gemar, Kinoshi juga tak berminat 'layan' tekanan UltraSel
Menurut Jake dalam media sosial miliknya, pertandingan itu merupakan pengalaman pertamanya dalam menyertai kejohanan bina badan.
Walaupun pertama kali, ia tidak menghalang Jake untuk merangkul tempat ketiga pertandingan selepas menewaskan 17 atlet bina badan yang lain.
"Pertandingan bina badan pertama saya mendapat tempat ketiga daripada 17 atlet dalam kategori fizik klasik.
"Saya sangat bangga dengan diri saya kerana berjaya melalui persediaan pertama ini, baik secara fizikal mahupun mental. Rasanya sangat luar biasa berada di atas pentas di hadapan begitu ramai orang yang bersorak, ketawa, dan menikmati rutin saya.
"Saya tidak akan lupa detik ini yang memulakan kerjaya bina badan saya.
"Masih banyak yang perlu saya perbaiki. Kondisi badan boleh diperbaiki. Saya juga perlu lebih baik dalam mempraktikkan dan menahan pose-pose. Sentiasa ada ruang untuk peningkatan.
"Ini hanyalah permulaan, dan saya berazam untuk membuktikan bahawa saya mempunyai apa yang diperlukan untuk mencapai puncak.
"Terima kasih atas sokongan daripada keluarga, jurulatih, teman wanita saya, dan terutamanya kepada anda semua yang sentiasa menyokong saya," katanya dalam Instagram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram