SKUAD kebangsaan hanya mampu berpuas hati dengan keputusan seri apabila bangkit mengikat Kemboja 2-2 dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, Kemboja pada Ahad (8 Disember).
Jaringan tandukan terbang Stuart Wilkin tidak mampu membantu Harimau Malaya bawa pulang tiga mata pertama selepas Kemboja berjaya bangkit menghasilkan dua gol semasa separuh masa kedua perlawanan.
Pada minit ke-74, pemain gantian Fergus Tierney berjaya menyamakan kedudukan selepas rembatan jauhnya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Kemboja.
BACA LAGI: Tak pergi Indonesia, Man United pilih Malaysia sebagai destinasi pra-musim
BACA LAGI: Ada pengalaman bersama FC Barcelona, kelab Liga Super wajar sambar khidmat Pau Marti
Dalam perlawanan itu, skuad kebangsaan jelas kekurangan kreativiti dan penyudah yang tumpul apabila ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, Safawi Rasid dan beberapa bintang lain.
Dengan setiap pasukan bertanding boleh mendaftar lebih 25 pemain ke Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), harapan untuk melihat Pau Marti meletakkan beberapa bintang lain dalam senarai tersebut tidak begitu banyak.
Majoriti senaraikan tiga bintang wajar dipanggil semula oleh Pau Marti untuk mengatasi masalah ketika berhadapan Kemboja sebelum ini, bagi membantu mengatasi masalah kekurangan kreativiti dan penyudah yang tumpul bagi empat perlawanan akan datang.
1. Muhammad Faisal Abdul Halim
Penjaring gol tercantik Piala Asia 2023 wajar menjadi pertimbangan Pau Marti untuk dipanggil beraksi bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala Asean.
Walaupun baru pulih daripada insiden simbahan asid yang dialami pemain berusia 26 tahun itu, semangat juang dan kelincahannya masih lagi ditagih skuad kebangsaan apabila Faisal sudah mula turun beraksi bersama Gergasi Merah dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Ketiadaan pemain sayap tulen seperti Safawi, Arif dan Akhyar skuad kebangsaan seperti kehilangan idea untuk memasuki kotak pihak lawan dengan mudah.
2. Gabriel Nistelrooy
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Gabriel Nistelrooy antara pemain tempatan yang wajar diberi peluang untuk mendapatkan kaps bersama skuad kebangsaan.
Ini kerana, pemain berusia 24 tahun itu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila kini mengungguli takhta penjaring terbanyak Piala MFL 2024-2025.
Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Sarawak itu dilihat sebagai watak pemusnah baharu yang dimiliki oleh Malaysia.
Kecemerlangan prestasi Nistelrooy dilihat hasil latihan pramusim Harimau Selatan di Sepanyol pada April lalu apabila namanya antara pemain muda yang dibawa oleh pasukan utama untuk beberapa aksi persahabatan di sana.
Manisnya, Nistelrooy turut beraksi hebat dan berjaya menyumbang dua jaringan buat skuad Harimau Selatan ketika membelasah Club Costa City 7-0 dalam salah satu perlawanan persahabatan di Sepanyol.
3. Alif Mutalib
Ketika kemenangan 6-0 JDT ke atas KL Rovers pada Rabu (30 November) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor beberapa pemain muda berjaya menarik perhatian ramai.
JDT memberikan Alif Mutalib, G. Pavithran dan Chrisitian Abad untuk bersama skuad utama Harimau Selatan dan ia berjaya menarik perhatian penyokong yang hadir dengan persembahan mereka.
Tumpuan nyata terarah kepada Alif yang beraksi di bahagian sayap kanan dengan persembahannya mengingatkan penyokong Harimau Selatan kepada Arif Aiman Hanapi.
Melihat kepada potensi yang ada padanya, ramai berpendapat dengan latihan yang betul, Alif boleh menjadi cemerlang seperti Arif yang kini merupakan watak utama JDT dan skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram