HARIMAU Malaya dikhabarkan akan mendapatkan dua bintang naturalisasi baharu iaitu Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Nama penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson dan pemain import Harimau Selatan yang kini beraksi bersama Sri Pahang, Hidalgo itu difahamkan menyertai skuad kebangsaan selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan mengenainya.
Tunku Ismail yang juga pemilik Harimau Selatan berkata demikian selepas memberikan respons terhadap undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia diletakkan dalam kumpulan F bersama-sama Vietnam, Nepal dan Laos.
BACA LAGI: Bergson layak MVP tapi karakter Sumareh pula jadi sebutan
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan salahkan Bergson, fans JDT anggap taktikal bertahan LCS punca provokasi
Meskipun kedua-dua pemain itu sedang menikmati musim terbaik mereka dalam saingan domestik namun masih ada penyokong kurang bersetuju dengan projek naturalisasi tersebut.
Hal ini kerana, beberapa pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula yang sebelum ini diberikan peluang beraksi bersama skuad tanah air tidak memenuhi jangkaan.
Berbeza dengan pendapat dari penyokong kebanyakan, pemerhati sukan tempatan, Zulakbal Abd Karim melihatnya sebagai alternatif terbaik untuk menyelamatkan Malaysia mara ke Piala Asia 2027.
Zulakbal menyedari usia Bergson semakin meningkat namun dari segi ketajaman penyudah, tiada pemain tempatan yang boleh menyaingi kehebatan penyerang prolifik Liga Super berkenaan.
Sementara itu, situasi Hidalgo pula wajar menjadi pelan jangka masa panjang Harimau Malaya susulan usianya yang baru menjangkau 25 tahun. Kelincahan dan kemahiran pemain itu juga menjadikannya berada di kelas berbeza dengan tonggak lokal.
Hidalgo mula menyertai Liga Malaysia pada musim 2021. — Facebook/SriPahang
"Saya rasa buat masa ini tiada pemain tempatan mempunyai kualiti seperti mereka berdua. Sebab itu buat masa ini, kita perlu mengharapkan Bergson dan Hidalgo membantu kita nak pergi jauh pada peringkat kelayakan ini.
"Bergson sesuai untuk projek jangka masa pendek ini kerana sudah berumur. Untuk Hidalgo pula, selagi mana kita boleh mengharapkan dia, kita pakai sajalah. kebetulan pula dia sudi nak main untuk kita.
"Kalau kita nak pertikai sesuai atau tak sesuai, kita tanya balik, ada tak pemain lokal kita yang boleh ganti kemahiran mereka? Jika belum ada, kita gunakan khidmat dua pemain ini," katanya kepada Majoriti.
Sementara dua pemain Liga Super itu akan menjadi taruhan skuad kebangsaan, Zulakbal menasihati agar menambahbaik program akar umbi bagi mencari tonggak tempatan berkualiti menggantikan tempat mereka.
Malaysia diundi dalam kumpulan F bersama-sama Vietnam, Nepal dan Laos.
Pendapat Zulakbal itu juga senada dengan Tunku Ismail apabila beliau mengesahkan bahawa pengarah sukan untuk skuad negara sudah pun memulakan tugasan ketika ini dengan meninjau beberapa pemain dalam saingan Liga Malaysia dan di luar negara.
Ia merujuk kepada revolusi Harimau Malaya yang difahamkan bermula 15 Disember dan projek besar-besaran itu diketuai sendiri oleh Tunku Ismail.
"Jurulatih baharu dan pengarah sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super dan yang beraksi di luar negara. Ia bukannya mudah, ia perlukan masa.
"Ia perlu dimulakan dengan segera, dan ia tidak mudah untuk dibuat tapi perlu dimulakan sekarang termasuklah rangka kerja program jangka panjang. Semoga berjaya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram