
MANCHESTER United mengalami kekalahan pertama di bawah kendalian Ruben Amorim ketika mereka berkunjung ke Stadium Emirates, London untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal pada Khamis.
Gol daripada Jurien Timber dan William Saliba yang kedua-duanya hadir daripada sepakan penjuru membuatkan skuad The Red Devils gagal meneruskan rentak cemerlang sejak pengurus baharu itu mengambil alih.
Namun, penyokong The Red Devils seperti tidak terlalu kecewa akan keputusan tersebut kerana jurang antara kedua-dua pasukan itu, baik dari segi kedudukan dalam carta mahupun kualiti amat jauh musim ini.
BACA LAGI: Sekian lama jadi anak emas Man United, Rashford akhirnya diberi amaran
BACA LAGI: Berlatih sambil lewa ketika era ten Hag, Casemiro dan Marcus Rashford cuba ‘bodek’ Ruben Amorim
Jadi, tidak hairanlah apabila ribuan peminat yang hadir ke stadium masih sempat memberikan tepukan gemuruh buat pasukan tersebut selepas wisel penamat ditiupkan.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan diberikan, masing-masing berasa kurang senang dengan tindakan penyerang, Marcus Rashford yang bertindak kembali ke bilik persalinan tanpa memberikan penghargaan buat peminat setia Manchester United.
Perkara itu sempat direkodkan dan dimuat naik di media sosial dengan masing-masing mula menzahirkan rasa tidak berpuas hati atas sikapnya selain mula mendesak Amorim untuk melepaskannya pada jendela perpindahan akan datang.
Pemain berusia 27 tahun itu menikmati permulaan yang indah di bawah pengurus kelahiran Portugal tersebut kerana sudah menjadi watak penting sepanjang berada di bawah kendaliannya.
Ini termasuk ketika mereka meraih kemenangan di laman sendiri ke atas Everton dengan penyerang terbabit menjaringkan dua gol untuk memastikan tiga mata dibawa pulang.
Rashford (kanan) memberikan persembahan hambar ketika bertandang ke Stadium Emirates. — Agensi
Namun, sikapnya yang kadang-kala tidak menghormati penyokong di tempat lawan membuatkan sebahagian berasakan kehadirannya membawa impak buruk terhadap pasukan.
Luahan sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini, penyokong gergasi EPL tersebut pernah melabel penyerang antarabangsa England itu sebagai seseorang yang 'diva'.
Selain itu, ada yang beranggapan pemain tersebut membawa pengaruh negatif di dalam bilik persalinan sehingga menyebabkan beberapa pengurus terdahulu sukar mengawal anak-anak buahnya.
Tetapi, dia yang merupakan produk akademi kelab masih memiliki tempat dalam hati segelintir penyokong yang enggan melihat pemergiannya meskipun dia tidak berada dalam prestasi terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram