BADAN sasa, tangan penuh tatu serta kostum garang tidak menjanjikan kekuatan dalam acara gusti lengan ataupun gusti tangan dan perkara berkenaan terbukti apabila bekas Superstar WWE, Braun Strowman atau nama sebenarnya Adam Scherr tewas di tangan Devon Larratt.
Mengimbau perlawanan penuh kejutan di Orlando, Florida, Amerika Syarikat pada Olympia 2021, Larret dicabar oleh Scherr untuk beradu kekuatan dalam acara gusti lengan.
Walaupun memiliki saiz badan yang jauh lebih kecil namun Larret tidak gentar untuk menyahut cabaran ahli gusti tersebut dengan fizikal Scherr sememangnya lebih besar daripadanya.
Sejurus sebelum pusingan pertama perlawanan gusti lengan mereka dimulakan, Scherr melancarkan perang psikologi dengan mengejek Larratt dan ia membuahkan hasil apabila pusingan pertama memihak kepadanya.
Enggan mengibar bendera putih melihat pengadil memberi mata kepada Scherr, Larratt mengambil keputusan untuk meneruskan perlawanan ke pusingan kedua.
Destroyed him with a big smile on his face is wild pic.twitter.com/a6qmuuHve7
— FadeHubb (@FadeHubb) February 1, 2024
Pada pusingan kedua, Larratt tampil lebih kuat dan tenang apabila berhasil membuat Scherr bergelut untuk menggerakkannya lengannya dan dalam keadaan tersenyum jaguh Kanada itu berjaya menewaskan Superstar WWE berkenaan dalam tempoh kurang 30 saat.
Usai kekalahan di pusingan kedua itu, Scherr dilihat tidak berpuas hati dan bertindak untuk menolak Larratt sehingga akhirnya mereka terpaksa ditenangkan oleh orang sekeliling.
Untuk rekod, Larratt bukanlah orang sembarangan apabila dia pernah dihadiahkan 'The Legacy Hammer' iaitu anugerah kepada ahli gusti lengan terbaik di dunia.
Larratt bukan sahaja bertanding dalam gusti lengan, malah dia juga terlibat dalam dunia tinju apabila dia pernah berdepan dengan lawan kuat seperti Hafthor Bjornsson, atlet profesional berasal dari Iceland.
Dalam pertarungan pada 2021, Bjornsson tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Larratt. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
